Tentang saya

My photo
"Katakanlah, inilah jalanku, mengajak aku kepada Allah dengan hujjah yang nyata, aku dan yang mengikutiku, dan mensucikan Allah, dan tidak aku dari golongan musyrikin" Surah Yusuf ayat 108.

Wednesday, December 28, 2011

Perancangan Gerak Kerja Islam

Allah telah berfirman dalam Surah Ali Imran:
"Dan berapa banyak para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. Tidak ada doa mereka selain ucapan: "Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami, dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. Kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala di akhirat. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan." (QS Ali Imran : 146-148)
 
Beberapa pengajaran dari ayat ini adalah:
1. Islam amat menggalakkan kerja-kerja dakwah yang digerakkan oleh lebih ramai mujahid. Ini kerana semakin mendekati berakhirnya zaman, semakin besar cabaran dalam menegakkan syiar. Maka, tenaga dan fikiran para pendakwah yang ramai adalah amat perlu.
 

2. Keperluan para pendakwah yang berkualiti menjadi teras gerak kerja Islam. Antara sifat pendakwah dalam ayat ini adalah tidak mudah lemah dengan dugaan dan tidak mudah menyerah dalam usaha membangunkan Islam. Pendakwah seharusnya meletakkan kesabaran sebagai nadi perjuangan. 

Sebagaimana firman Allah:

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (QS Al Fushshilat : 33)
 
3. Para dai juga harus sentiasa memperbaiki diri serta bermohon kepada Allah agar diampunkan segala dosa sekiranya berada dalam keadaan melampaui batas atau berlebihan.
 
PERANCANGAN GERAK KERJA ISLAM
 
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” – Firman Allah (Surah Al-Imran 3:104)
 
PERANCANGAN PERTAMA

Perancangan yang pertama adalah memperbanyakkan penjanaan aktivis iaitu penggerak dalam dakwah. Merekrut aktivis dakwah adalah usaha untuk memberi jalan kepada manusia bagi mendapatkan hidayah dan pilihan Allah swt. Hasil akhirnya bergantung kepada kesediaan manusia untuk datang kepada Allah dan pada kehendak mutlak Allah swt sendiri.

Ini adalah kerana seorang pendakwah tidak mampu memberi hidayah tetapi sebenarnya ia hanya mampu menuntun manusia kepada hidayah itu.
 
"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya. Dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk." (QS Al Qashash : 56)
 
Perhatikan peringatan Allah swt :
 
"Tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." (QS Ali Imran : 79)
 
Maka dengan ini, pendakwah seharusnya dikembangkan potensinya untuk menjadi generasi rabbaniyyin yang mentauhidkan Allah dan menjadikan dakwah sebagai jalan hidupnya, Bukan sekadar pengikut fanatik suatu organisasi semata-mata tanpa mendalami matlamat gerak kerja Islam sendiri.

PERANCANGAN KEDUA

Perancangan kedua adalah dengan meningkatkan kualiti aktivis Islam atau para pendakwah. Ini dapat dilakukan dengan mencontohi agenda Tarbiyah Islamiyah yang dilakukan oleh Rasulullah saw.
 
Antara agenda tersebut adalah:
1. PENGUKUHAN KEYAKINAN

Sebagai murabbi, Rasulullah saw sentiasa mengingatkan para sahabat baginda akan keyakinan dalam gerakan Islam khususnya ketika para sahabat mengalami ujian dan cubaan yang sukar dalam kehidupan mereka. Kunci keyakinan adalah didasarkan kepada keimanan yang teguh terhadap Allah swt, keyakinan yang kuat tentang kebenaran Islam, kefahaman yang meluar tentang dakwah serta kerinduan terhadap ganjaran syurga
 
Antara usaha yang perlu dilakukan pada masa kini melalui pelbagai program menyeluruh untuk aktivis Islam. Antaranya seperti :
 
1.      Perjumpaan dan usrah yang berterusan bagi terus menghidupkan dan menyuburkan ruh pengabdian kepada Allah
2.      Pengkajian sejarah kehidupan para anbiya’, para salafus-soleh dan para mujahid dakwah yang akan memberi pengaruh yang kuat terhadap kekukuhan dukungan terhadap Islam dan dakwah.
3.      Diskusi dan forum yang membincangkan manhaj dakwah dan asas-asasnya, perlu dilakukan secara rutin pada bahagian awal perjumpaan yang bersifat ‘tarbawi’ atau ‘tanzhimi’.
4.      Penilaian hasil kerja dakwah, bukan sahaja dari sudut-pandang pengurusan, tetapi juga pengajaran dan hikmah ‘rabbaniyah’ yang terkandung di dalamnya.
 
 
2. PENGUKUHAN PENGHAYATAN AL-QURAN
Rahsia kedua adalah kuatnya interaksi secara langsung antara ayat-ayat Allah dengan perjalanan kehidupan. Sebagaimana yang kita fahami bersama, turun naik perjalanan kehidupan Rasulullah saw bersama sahabat-sahabatnya adalah seiring dengan turunnya ayat-ayat Al Qur’an sehingga, bukan sahaja kehidupan itu berjalan di bawah bimbingan atau pengarahan dari langit (Taujih Rabbani), tetapi juga dapat dilihat dari interaksi secara langsung dan kuat dengan Al-Qur’an sebagai acuan kehidupan (Minhajul-Hayah).
 
Inilah yang menjadi sebab kenapa Sayyid Qutb menyebut para sahabat itu sebagai Generasi Al Quran (Jiil-Qur’ani).
 
Dalam konteks semasa, interaksi dengan Al Qur’an bukan hanya sebatas aspek tilawah, hafazan dan kefahaman, namun yang lebih penting adalah pada sisi pengamalan Islam dan dakwah yang terus mengarah kepada bimbingan Al Qur’an. Sudah semestinyalah, setiap aktivis dakwah mampu menjelaskan seluruh aktiviti hariannya dengan acuan Al Qur’an dan berusaha untuk menemui jawaban ke atas seluruh persoalan-persoalan hariannya dalam Al Qur’an.
 
Salah satu kayu ukur dalam menilai sudut ini ialah apabila seseorang aktivis dakwah itu memiliki kedekatan dengan Al Qur’an terjemahan di mana melalui terjemahan inilah aktivis-aktivis dakwah tersebut akan sentiasa mentadabbur ayat-ayat Allah untuk memahami dan menjelaskan kehidupannya.
 
Untuk menjawab halangan-halangan terhadap peningkatan kualiti ini, maka perlu segera dilakukan usaha mendekatkan interaksi seseorang aktivis dengan Al Qur’an. Misalnya dalam enam bulan pertama memulai proses tarbiyah, setiap ‘mutarabbi’ dibuat perancangan supaya mampu menguasai bacaan Al Qur’an dengan baik. Enam bulan berikutnya, mereka diprogramkan untuk menghafal ayat-ayat keimanan, khususnya pada juz 30. Masa-masa seterusnya, program hafazan Al Qur’an disesuaikan dengan tema-tema pembahasan tarbiyah sehingga kefahaman keislaman dan fikrah dakwah dapat diikuti dengan hafazan ayat-ayat yang berkaitan.
 
Kegiatan ‘taushiyah’ dalam ‘liqa’ tarbawi’ boleh diselang-selikan dengan ulasan tafsir dari ayat-ayat tilawah yang sedang dibaca. Tentu sahaja, ulasan tafsir ini diarahkan untuk merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang sudah banyak diterjemahkan. Begitu juga pembahasan terhadap berbagai permasaalahan dakwah perlu diusahakan untuk melihat kepada tinjauan terhadap Al Qur’an sehingga kefahaman dan penguasaan aktivis terhadap makna dan pengajaran dari ayat-ayat Al-Qur’an tersebut menjadi kuat.
 
3. BIMBINGAN KEPADA PENERAPAN AMAL
Islam adalah agama amal dalam ertikata bahwa Islam mengutamakan kebaikan amal sebagai bukti dari keimanan dan kefahaman. Seterusnya, penerapan amal justeru akan mempercepatkan dan memperkukuhkan bangunan keimanan dan kefahaman terhadap Islam. Tentu sahaja semua ini dilakukan dengan menjaga agar setiap amal yang dilakukan sentiasa berlandaskan keikhlasan dan kefahaman.
 
Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dalam mentarbiyah umatnya. Mereka menjadi ‘Qaumun ‘Amaliyyun’ atau orang yang sentiasa beramal.
 
"Dan katakanlah: "Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya beserta orang-orang mu’min akan melihat amalmu itu. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata. Lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (QS At Taubah : 105)
 
Ketika arahan amal begitu kuat dalam Islam, hal ini mendorong para sahabat untuk sentiasa berkomunikasi dan bermesyuarat dengan Rasulullah saw dalam kapasiti baginda sebagai nabi, ketua dan juga hakim. Dari sinilah kefahaman mereka bertambah seiring dengan banyaknya amal. Kebaikan mereka berlipat kali ganda seiring dengan kesalahan yang diperbaiki. Keyakinan mereka menjadi semakin kuat seiring dengan kemenangan amal yang mereka raih sehingga akhirnya, keyakinan Islam mereka semakin kukuh kerana Rasulullah saw sentiasa menjanjikan balasan syurga kepada mereka yang berjaya dalam beramal soleh.
 
Tarbiyah bukanlah semata-mata untuk tarbiyah, tetapi tarbiyah adalah untuk dakwah. Kita adalah pertubuhan dakwah, bukan pertubuhan tarbiyah. Oleh kerana itu, peningkatan kualiti aktivis dakwah akan menuju kepada prinsip ini iaitu bagaimana para ‘mutarabbi’ sejak awal tarbiyahnya lagi diarahkan dan dibimbing untuk mulai mengamalkan Islam dan dakwahnya.
 
Murabbi yang berjaya adalah yang mampu menjadikan mutarabbinya sebagai subjek dakwah dan bukan objek dakwah.
 
Ingatlah firman Allah swt :
 
"Tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." (QS Ali Imran : 79)
 
Akhirnya kita menemui satu kata kunci iaitu ‘Tajribah Maidaniyah’ atau pengalaman di medan sebenar adalah cara yang berkesan untuk mematangkan keyakinan, kefahaman dan kemampuan amal seseorang aktivis.
 
Ilmu Allah yang sangat luas akan diajarkan kepada kita ketika kita ada di medan kehidupan sebenar untuk mengamalkan ajaran Islam dengan penuh tawakal.
 
"... Dan bertakwalah kepada Allah, niscaya Allah akan mengajarkanmu. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (QS Al Baqarah : 282)

4. KETELADANAN DAN KEPIMPINAN YANG BAIK

Perilaku dan amal para pendakwah adalah cerminan dari dakwahnya. Mereka adalah teladan dalam pembicaraan dan amalan.
 
Slogan mereka adalah "Ashlih Nafsaka, Wad’u Ghairaka" (perbaiki dirimu, kemudian serulah orang lain).
 
Rasulullah saw telah menampilkan keteladanan ini dalam dirinya. Sungguh, baginda adalah teladan yang sempurna bagi manusia. Baginda adalah teladan bagi setiap pendakwah, setiap pemimpin, setiap bapa dari anak-anaknya, setiap suami dari isterinya, setiap sahabat, setiap murabbi, setiap pengamal politik dan berbagai tingkatan sosial manusia yang lain.
 
Dengan cara inilah, Rasulullah saw berjaya dalam membentuk sahabat-sahabatnya. Islam menampilkan keteladanan sebagai wasilah dakwah dan tarbiyah yang paling berkesan sehingga Islam menetapkan sistem tarbiyah yang berterusan berdiri kukuh di atas dasar prinsip keteladanan tersebut.
 
Sesungguhnya, kebaikan amal seorang pendakwah adalah khutbah yang paling mantap. Akhlaknya yang mulia bagaikan "sihir" yang memikat hati. Oleh kerana itulah, seorang pendakwah yang berjaya adalah pendakwah yang mengajak kepada kebenaran dengan perilakunya, meskipun dia sedikit berbicara. Ini adalah kerana peribadinya telah menjadi contoh yang hidup dan bergerak memperagakan prinsip-prinsip yang diyakininya.
 
Munculnya gejala penurunan kualiti aktivis dakwah sekarang ini berkemungkinan disebabkan kerana lemahnya keteladanan yang ditampilkan oleh para pendakwah dan para pemimpin. Masyarakat tidak dapat belajar secara langsung tentang kebaikan dari pendakwah dan pemimpinnya atau bahkan mereka mungkin dikejutkan dengan perilaku yang kontradiktif dari pendakwah dan pemimpinnya.
 
Untuk tujuan tersebut, walauapapun usaha peningkatan kualiti aktivis yang akan kita lakukan, pada akhirnya ianya perlu disempurnakan dengan keteladanan dan kepimpinan yang baik dari para murabbi dan pendakwah. Kita tidak berhak menegur aktivis dakwah yang lemah kualitinya, selama mana kita sendiri belum mampu mengajarkan dan menunjukkan mereka tentang keteladanan.
 
PERANCANGAN KETIGA
Perancangan ketiga adalah mengembangkan iklim nasihat menasihati. Masyarakat mu’min di antara ciri-cirinya adalah kuatnya budaya ‘taushiyah’ (nasihat menasihati) dan ‘amar ma’ruf nahi munkar’. Mereka memandang perkara ini sebagai keperluan untuk menjaga kebaikan Islam. di samping sebagai hak kewajiban seorang mu’min ke atas mu’min lainnya dan yang lebih penting, ini merupakan salah satu misi dakwah Islam.
 
Dalam sejarahnya, kehancuran umat terdahulu adalah kerana mereka tidak mengembangkan iklim ‘taushiyah’ dan ‘amar ma’ruf nahi munkar’. Boleh jadi hal ini bukan kerana kebodohan mereka terhadap ajaran agama, tetapi kerana kungkungan budaya tertentu. Misalnya sikap takut untuk menegur orang lain terutama yang status atau darjat sosialnya dianggap lebih tinggi atau rasa tidak sedap hati yang akan menyinggung perasaan orang lain. Sikap-sikap ini akan membawa kepada  pengabaian terhadap kesalahan yang berlaku kepada saudara kita. Jika perkara ini terus berlaku, maka sensitiviti kita terhadap kemunkaran yang berlaku dalam kehidupan dakwah boleh lenyap. Inilah pintu malapetaka yang nyata bagi dakwah.
 
Ada banyak cara untuk mengembangkan iklim ini. Yang paling asas adalah menghidupkan kembali suasana Ukhuwah Islamiyah di kalangan aktivis. Manakala interaksi persaudaraan  hidup dengan baik di mana sesama aktivis saling menjalin silaturahim dan berbagai bentuk mu’amalah lainnya.
 
Ini akan membuatkan seorang akh mengenali dengan betul keadaan saudaranya yang lain. Semakin kita kenal dengan saudara yang lain, semakin kita tahu akan kebaikan atau kekurangannya. Di sinilah peluang amal soleh untuk melakukan ‘taushiyah’ terbuka. Secara tabi’ienya, seseorang merasa lebih nyaman dan lapang apabila yang memberi ‘taushiyah’ adalah orang yang dekat dengannya.
 
Kemudian, peranan ‘taushiyah’ yang dilakukan setiap murabbi iaitu bagaimana seorang murabbi menjadikan halaqah tarbiyah sebagai wasilah yang berkesan untuk mentaushiyah para mutarabbinya.
 
Nasihat-nasihat yang diberikan sesuai dengan persoalan kehidupan mereka sehingga para mutarabbi sentiasa terbimbing untuk istiqamah di jalan Islam. Untuk itu, interaksi antara murabbi dan mutarabbi tidak boleh hanya sebatas di dalam halaqah semata-mata. Interaksi yang lebih bersifat peribadi di luar waktu halaqah menjadi penting agar kedua belah pihak lebih saling mengenali. Ingatlah agama itu adalah nasihat.
 
Yang terakhir yang perlu dilihat secara serious juga adalah peranan kepimpinan di semua peringkat dan tingkatan. Taushiyah seorang pemimpin yang disampaikan secara bijaksana dan penuh ungkapan kasih-sayang, bukan sahaja akan meluruskan orientasi dan proses kerja tetapi juga akan menguatkan kesepaduan organisasi kerana orang-orang yang di dalam organsasi itu tidak merasa terikat secara pentadbiran semata-mata, tapi juga dengan ikatan hati sehingga menjadi sesuatu yang sangat penting dan mendesak.
 
Ia juga penting untuk para pemimpin dakwah khususnya yang ada di bahagian operasi untuk mengukuhkan peranan kepimpinan kerohaniannya serta tidak terjebak sebatas kepimpinan pentadbiran yang fungsi dan peranan kepimpinannya hanya muncul ketika halaqah berbentuk organisasi sahaja.
 
Dalam konteks kepimpinan organisasi, perlu disediakan saluran agar antara para pemimpin dan anggota-anggota organisasinya di setiap tahap dan tingkatan boleh bertemu dan membicarakan perkara-perkara penting secara bersama. Di dalam forum ini, disampaikan perkembangan dan permasalahan dakwah yang perlu diketahui oleh para anggota dan para pimpinan berusaha untuk mendapatkan masukan-masukan yang sebanyak-banyaknya dari para anggota. Setiap anggota pula berhak untuk menyampaikan kritikan dan cadangan pembaikan secara terbuka dan konstruktif dalam forum ini.
 
Apabila iklim ‘taushiyah’ dan ‘amar ma’ruf nahi munkar’ hidup dengan baik di semua aspek, insya Allah kehidupan dakwah ini akan sentiasa sihat dan kuat kerana setiap potensi dan gejala penyakit boleh dikesan dengan cepat secara spontan.
 
Menumpuknya masalah yang mengganggu organisasi dakwah biasanya akibat dari tidak hidupnya iklim ini sehingga semua persoalan mesti ditanggung oleh organisasi.
 
Perhatikan firman Allah swt :
 
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar. Mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (QS at Taubah : 71)
 
 

No comments:

Post a Comment