Tentang saya

My photo
"Katakanlah, inilah jalanku, mengajak aku kepada Allah dengan hujjah yang nyata, aku dan yang mengikutiku, dan mensucikan Allah, dan tidak aku dari golongan musyrikin" Surah Yusuf ayat 108.

Thursday, August 18, 2011

Puasa dalam Menyubur Ihsan dan Takwa


Ramadhan tiba, dan seperti biasa Ramadhan adalah bulan yang menjadikan kita sangat akrab kepada ibadah dan berpuasa. Namun sedarkah kita apakah tujuan Allah memperuntukkan satu bulan yang mulia untuk kita tidak makan dan minum serta menahan diri daripada kehendak fizikal kita yang lain? Allah Maha Bijaksana, tidak disyariatkan sesuatu melainkan ada matlamat dan tujuannya.

Matlamat puasa yang utama dalam erti kata yang sebenar adalah untuk memupuk diri kita menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana Allah swt berfirman :
''Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.'' (QS Al Baqarah : 183)
Taqwa bermakna takut kepada Allah swt. Rasa takut kepada Allah swt itu dizahirkan dengan menjalankan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Dua perkara inilah menjadi kayu ukur untuk menilai samaada kita termasuk dalam golongan bertakwa atau sebaliknya.
 
Seseorang yang mentaati dua perkara ini secara zahirnya digolongkan sebagai orang yang bertakwa. Namun merujuk kepada sabda Rasulullah s.a.w.


''Taqwa itu di sini, taqwa itu di sini, dua kali atau tiga kali, sambil beliau menunjuk dengan tangan beliau ke arah dadanya.'' (HR Ahmad)
Taqwa itu tempatnya di hati yang selalu ingat kepada Allah swt. KIta yang berusaha menanam takwa dalam hati, maka akan wujud s
uatu kesedaran yang mendalam pada diri kita bahawa Allah swt sentiasa hadir dalam kehidupan kita. Kita akan sedar dan insaf akan Allah bersama kita dan melihat kita dalam segala ruang dan waktu.
Sebagaimana Allah swt telah berfirman :
''Dan Dia bersamamu di mana pun kamu berada. Dan Allah Maha Mengetahui tentang segala sesuatu yang engkau kerjakan.'' (QS Al Hadid : 4)
Kesedaran ini dalam agama kita disebut juga dengan istilah "ihsan".
Mengenai makna "ihsan", Rasulullah saw telah bersabda :
''Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan engkau melihatNya, dan jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.'' (HR Bukhari)
Sikap ihsan ini akan menjadikan kita sentiasa melaksanakan apa sahaja suruhan Allah kerana kita tahu Allah sentiasa bersama kita. Kita akan takut berbuat dosa dan maksiat kerana Allah sentiasa melihat kita. Dengan ihsan ini juga kita akan sedar bahawa Allah sentiasa menilai kita, maka ini akan mendorong kita berbuat kebaikan demi mencapai redha Allah.

Maka dari kesedaran takwa dan ihsan yang memenuhi kalbu kita, akan memancarlah sifat-sifat mulia dan terpuji pada perilaku seseorang dalam kehidupan kita sehari-hari. Jika setiap individu dalam masyarakat memiliki sikap dan perilaku yang demikian, maka akan tercipta suatu kehidupan masyarakat ideal yang bermoral dan beradab.


Inilah gambaran sebuah masyarakat yang dibangun di atas asas taqwa kepada Allah swt di mana salah satu wasilah untuk mewujudkannya adalah melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Sama-sama kita doakan moga ibadah puasa serta ibadah yang lain dalam bulan Ramadhan diredhai Allah serta dapat menyubur takwa dan kebaikan dalam hati kita juga kehidupan kita seluruhnya. InsyaAllah, amin.

Sunday, August 7, 2011

Ramadhan dalam Pembinaan Ummah Cemerlang


Alhamdulillah, betapa besar nikmat Allah ke atas kita kerana memberi kita kesempatan untuk sekali lagi berada dalam bulan Ramadhan, ulan di mana amal kebaikan dilipatgandakan ganjaran melebihi bulan-bulan lain.

Menjejak kaki ke bulan Ramadhan bagai menjejak kaki ke pusat tarbiyyah hati dan ketaatan, di mana pusat ini menyediakan pendidikan rabbaniyyah, imaniyyah dan takwa.

Bulan Ramadhan yang penuh berkat ini adalah pusat pendidikan iman yang lengkap, mencakupi pelajaran, prinsip serta nilai tarbiyyah serta latihan ketaatan bagi tujuan kita menempuh kehidupan di dunia serta mendapatkan kehidupan yang sejahtera di akhirat nanti, insyaAllah.

LATIHAN PENGUKUHAN IMAN DAN TAKWA.

“Dan berbekallah, kerana sebaik-baik bekalan adalah taqwa” (QS Al-Baqarah : 197)

Takwa dan keimanan adalah bekalan yang amat perlu dalam kita mengharungi ujian dunia yang penuh cabaran. Bekalan iman dan takwa juga akan kita bawa bersama apabila dijemput Allah suatu hari nanti. Maka Ramadhan ini, Allah memperuntukkan satu bulan untuk kita memenuhkan dan mengukuhkan iman dan takwa dalam hati melalui ibadah puasa yang diwajibkan khusus pada bulan Ramadhan.

Istimewa Ramadhan kerana ia merupakan:

1. Bulan peningkatan keimanan, taqwa dan pendekatan diri kepada Allah. Di mana syaitan yang menghasut agar jauh dari Allah dibelenggu, amalan fardhu yang dilakukan dilipatganda pahala dan amalan sunat pula pahalanya seperti amalan fardhu. Maka beruntung benar mereka yang memanfaatkan Ramadhan untuk meningkatkan iman dan takwa.

2. Bulan ibadah, ‘tadharru’’ (ketundukan), istighfar, taubat dan doa. Di waktu siangnya kita berpuasa dengan penuh ketakwaan, pada malamnya kita bertarawikh dan menghidupkan malam.

3. Bulan infaq, berkorban, memberi, kebaikan dan berbuat baik serta memelihara orang-orang fakir, miskin dan yatim, kaum muslimin memberikan kenikmatan di dalamnya dengan bergotong royong dan tolong menolong di antara mereka.

4. Bulan diwajibkan berpuasa, bersungguh-sungguh, kesabaran dan tahan memikul beban.

5. Bulan kemenangan ke atas jiwa, hawa nafsu dan syaitan, di dalamnya seorang muslim dilatih menahan keinginan, memperkukuhkan cita-cita, azam dan gerakerja bagi mencapai perubahan yang positif.

6. Bulan Al Qur’an Al Karim di mana kaum muslimin sentiasa membacanya sepanjang malam dan sepanjang hari, agar dapat dipelajari dari pelajaran-pelajaran dan ayat-ayatnya, mentadabburkan apa yang terkandung di dalamnya dari berbagai pengarahan dan makna-maknanya, mentelaah ‘manhaj’ dan ‘uslub-uslubnya’ sehingga menjadi undang-undang yang kekal, petunjuk jalan dalam kehidupan dan manhaj dalam kebangkitan.

Demikianlah madrasah ‘imaniyah’, taman pembinaan, kurniaan Allah yang sentiasa hadir setiap tahun sebagai kurniaan dari Allah ke atas umat ini, nikmat yang sangat besar dan kurniaan yang agung, kita membuka pintu seluas-luasnya menuju kebangkitan yang baru ini, mengembalikan kaum muslimin akan kemuliaan mereka yang telah redup dalam kurun yang lama dan pada tahun-tahun yang panjang.

KEPERLUAN KITA TERHADAP RAMADHAN

Melalui madrasah ‘rabbaniyah’ ini, kita sangat memerlukan akan pelajaran-pelajaran buat diri yang terdapat di dalamnya. Hasil didikan di madrasah ini kita berharap akan menjadi insan rabbani yang mempunyai ciri:

1. kesungguhan dalam menjaga hubungan dengan Allah dan manusia

2. redha mengorbankan kepentingan

3. pengabdian sepenuhnya pada Allah dan ikhlas beramal

4. kesabaran yang tinggi dalam menempuh dugaan Allah dan tetap dalam perjuangan Islam

5. menjadikan tujuan hidupnya serta tujuan segala perbuatannya adalah untuk Allah

Maka, marilah kita menyeru diri kita dan orang di sekeliling kita untuk memanfaatkan Ramadhan ini dengan amal kebaikan serta pengabdian yang menyeluruh hanya untuk Allah. Sama-sama kita menghiasi hari siangnya dan menghidupkan hari malamnya dengan Al-Quran, zikir, doa, istighfar, tahajjud dan pelbagai ibadah lain, serta melakukan kerja amal kerana Allah.

Selain itu kita juga perlu berperanan dan turut serta dalam amal sosial dan kebaikan, seperti menganjurkan sedekah, mengunjungi orang sakit yang dirawat di pusat perubatan, meringankan beban orang yang memerlukan bantuan, menjalin silaturrahim keluarga, kerabat yang dekat, memperbaiki hubungan keluarga dan mendamaikan antara dua orang yang sedang berselisih.

Umat sangat-sangat memerlukan kesungguhan pemuda muslim yang baik yang digerakkan oleh iman, didorong oleh akidah, didisiplinkan oleh hukum-hukum syariah serta dihias peribadinya dengan akhlak Islamiah.

Kesungguhan ini diharapkan dapat membuka pintu harapan untuk :

a. Bangkit.

b. Memerangi sifat putus asa dan rendah diri.

c. Memperkukuhkan imuniti untuk menghadapi kelemahan, kerusakan dan penurunan indeks moral.

d. Menolak kezaliman, tekanan dan penindasan.

Kita yakin bahwa iman yang benar adalah merupakan fokus utama untuk membangun masyarakat muslim yang soleh iaitu asas utama untuk kebangkitan dan kemajuan ummah:

Seharusnya kebangkitan Islam bakal dibina berasaskan:

a. Iman sebagai tunjang kerukunannya.

b. Tauhid sebagai prinsipnya.

c. Rasul sebagai pemimpinnya

d. Al Qur’an sebagai perlembagaan hidupnya.

e. Jihad sebagai usaha dan jalan hidupnya.

f. Mati di jalan Allah sebagai cita-cita tertingginya.

ILMU YANG BERMANFAAT

Melalui iman akan hadir ilmu yang bermanfaat samada ilmu agama atau ilmu dunia.

Ilmu dengan berbagai cabangnya merupakan kewajiban umat dan tidak akan ada kebangkitan dan kewujudan cita-cita di masa depan jika tidak menjadikan ilmu sebagai keutamaan atau perhatian utama.

Kewajiban para pemuda muslim adalah :

1. Menerima pelajaran.

2. Gigih dan sungguh-sungguh untuk mencapai dan memahami ilmu.

3. Meraih tingkatan dan darjat yang tinggi.

4. Sedar dengan risalah dan tujuannya.

5. Mencapai prestasi ilmu dan akhlak yang mulia.

6. Baik dalam berinteraksi dengan guru-guru, tenaga pengajar dan rakan seangkatannya.

7. Semangat yang berterusan terhadap peranan ilmu dan institusi-institusi pendidikan.

Umat yang bersungguh-sungguh dalam menuju kemajuan dan peningkatan memerlukan ulama’, guru dan para pendidik yang :

a. Memiliki keikhlasan.

b. Berjuang dengan penuh semangat.

c. Membina anak-anak dengan penuh kecintaan.

d. Memelihara dan mendidik mereka.

Oleh kerana itu umat mesti berterimakasih kepada para ulama’, asatizah, mu’allim dan murabbi dan menghargai mereka dengan penghargaan yang tinggi.

Ilmu merupakan wasilah dan jalan untuk bangkit dan maju di mana para ulama’ berjuang keras siang malam untuk kebangkitan dan kemajuan umat.

KEPERLUAN KEPADA PEMUDA MU’MIN

Kita sangat memerlukan kepada pemuda mu’min yang :

1. Memiliki senjata dengan ilmu yang bermanfaat.

2. Memiliki keinginan yang dapat mendorong kepada jiwa berkorban dan memberi demi kebangkitan umat.

3. Mengembalikan kemuliaan Islam.

Pemuda mu’min merupakan harapan dalam :

a. Memurnikan nilai-nilai yang mulia.

b. Memerangi kecurangan dan penipuan.

c. Menentang kezaliman dan penindasan.

d. Menghentikan keruntuhan moral.

e. Menumbuhkan nilai-nilai kebenaran, keadilan, kebebasan dan syura.

f. Memperkukuhkan akhlak dan prinsip-prinsip.

g. Mendukung sikap kasih sayang dan mengasihi antara manusia.

Moga dengan kehadiran bulan Ramadhan yang penuh berkah ini akan mengembalikan semula kepada umat Islam dengan kebaikan, anugerah dan berkah serta akan menguatkan cita-cita serta perjuangan untuk mencapai kemenangan menyebarkan syariat Islam seterusnya mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, insyaAllah.

Thursday, August 4, 2011

Limpahan pahala Ramadhan


Antara kelebihan bulan Ramadhan serta kelebihan berpuasa telah jelas dinyatakan dalam hadis Rasulullah saw:

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali ganda. Allah swt berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukKu. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (HR Muslim)

Dalam riwayat lain dikatakan :

“Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), ‘Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Amalan puasa adalah untukKu.’” (HR Bukhari)

Dalam riwayat Ahmad dikatakan :

“Allah ‘azza wa jalla berfirman (yang ertinya), ‘Setiap amalan adalah sebagai kafarah/tebusan kecuali amalan puasa. Amalan puasa adalah untukKu. Aku sendiri yang akan membalasnya.’” (HR Ahmad dengan sanad sahih sesuai dengan syarat Muslim)

PAHALA YANG TIDAK TERHINGGA DI SEBALIK PUASA

Dari riwayat pertama, dikatakan bahwa setiap amalan akan dilipatgandakan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kebaikan yang semisal dengannya kecuali amalan puasa.

Amalan puasa tidaklah dilipatgandakan seperti cara di atas kerana puasa itu tidak dibatasi dari segi gandaan pahalanya. Oleh kerana itu, amalan puasa akan dilipatgandakan oleh Allah hingga berganda-ganda tanpa ada batasan bilangan.

Kenapa boleh berlaku demikian?

Imam Ibnu Rajab Al Hanbali mengatakan :

“Kerana puasa adalah bahagian dari kesabaran”.

Mengenai ganjaran orang yang bersabar, Allah swt berfirman :

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS Az Zumar : 10)

Sabar itu ada tiga bentuk :

1. Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah.

2. Sabar dalam meninggalkan yang haram.

3. Sabar dalam menghadapi takdir yang terasa menyakitkan.

Ketiga-tiga bentuk sabar ini semuanya terdapat dalam amalan puasa.

Dalam puasa tentu sahaja wujud di dalamnya bentuk melakukan ketaatan, menjauhi perkara-perkara yang diharamkan dan juga dalam berpuasa, seseorang akan berusaha untuk bersabar dari perkara-perkara yang menyakitkan seperti menahan diri dari rasa lapar, dahaga, dan lemahnya badan.

Itulah sebab kenapa amalan puasa boleh meraih pahala tidak terhingga sebagaimana sabar.

AMALAN PUASA ADALAH KHUSUS UNTUK ALLAH

Dalam riwayat lain dikatakan bahwa Allah swt berfirman :

“Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Amalan puasa adalah untukKu.”

Riwayat ini menunjukkan bahwa setiap amalan manusia adalah untuknya sedangkan amalan puasa, Allah khususkan untuk diriNya. Allah menyandarkan amalan tersebut untukNya.

Kenapa Allah menyandarkan amalan puasa untukNya?

ALASAN PERTAMA

Di dalam puasa, seseorang meninggalkan berbagai kesenangan syahwat. Perkara ini tidak didapati dalam amalan-amalan lain.

Semasa kita berihram misalnya, memang ada perintah meninggalkan jima’ (berhubungan badan dengan isteri) dan meninggalkan berbagai wangi-wangian. Namun bentuk kesenangan lain dalam ihram tidak ditinggalkan.

Begitu juga dengan ibadah solat. Dalam solat, memang kita dituntut untuk meninggalkan makan dan minum. Namun itu dalam waktu yang singkat. Bahkan ketika hendak solat, jika makanan telah dihidangkan dan kita merasa perlu pada makanan tersebut, kita dianjurkan untuk menyantap makanan terlebih dahulu dan boleh menunda solat ketika dalam keadaan sedemikian.

Tapi dalam amalan puasa, kita dikehendaki meninggalkan berbagai macam syahwat yang tidak kita jumpai pada ibadah-ibadah yang lain. Jika seseorang telah melakukan itu semua seperti meninggalkan hubungan badan dengan isteri dan meninggalkan makan-minum ketika puasa dan dia meninggalkan itu semua kerana Allah, padahal tidak ada yang memperhatikan apa yang dia lakukan tersebut selain Allah, maka ini menunjukkan benarnya iman orang yang melakukan perkara semacam itu.

Itulah yang dikatakan oleh Ibnu Rajab :

“Inilah yang menunjukkan benarnya iman orang tersebut.”

Orang yang melakukan puasa seperti itu sentiasa menyedari bahwa dia berada dalam pengawasan Allah meskipun dia berada sendirian. Dia telah mengharamkan melakukan berbagai macam syahwat yang dia sukai. Dia lebih suka mentaati Rabbnya, menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya kerana takut pada siksaan dan sentiasa mengharap ganjaranNya.

Sebahagian salaf mengatakan :

“Beruntunglah orang yang meninggalkan syahwat yang ada di hadapannya kerana mengharapkan janji Rabb yang tidak nampak di hadapannya.”

Oleh kerana itu, Allah membalas orang yang melakukan puasa seperti itu dan Dia pun mengkhususkan amalan puasa tersebut untukNya dibandingkan amalan-amalan lainnya.

ALASAN KEDUA

Puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan Rabbnya yang tidak ada orang lain yang mengetahuinya. Amalan puasa berasal dari niat batin yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya dan dalam amalan puasa ini terdapat bentuk meninggalkan berbagai syahwat.

Oleh kerana itu, Imam Ahmad dan selainnya mengatakan :

“Dalam puasa, sukar sekali untuk terdapatnya riya’ (ingin dilihat / dipuji orang lain).”

Dari dua alasan inilah, Allah swt menyandarkan amalan puasa padaNya yang berbeza dengan amalan lainnya.

SESEORANG MEMASUKI SYURGA DI SEBABKAN PAHALA PUASA

Ada satu riwayat lain di mana Allah ‘azza wa jalla berfirman (yang ertinya) :

“Setiap amalan adalah sebagai kafarah / tebusan kecuali amalan puasa. Amalan puasa adalah untukKu.”

Sufyan bin ‘Uyainah mengatakan :

“Pada hari kiamat nanti, Allah swt akan menghisab hambaNya. Setiap amalan akan menimbus berbagai macam kezaliman yang pernah dilakukan sehingga tidak tersisa satu pun kecuali satu amalan iaitu puasa. Amalan puasa ini Allah akan simpan dan akhirnya Allah memasukkan orang tersebut ke syurga.”

Jadi, amalan puasa adalah untuk Allah swt. Oleh kerana itu, tidak boleh bagi sesiapapun untuk mengambil ganjaran amalan puasa tersebut sebagai tebusan baginya. Ganjaran amalan puasa akan disimpan bagi pelakunya di sisi Allah swt.

Dengan kata lain, seluruh amalan kebaikan dapat menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan oleh pelakunya sehingga kerana banyaknya dosa yang dilakukan, seseorang tidak lagi memiliki pahala kebaikan apa-apa.

Ada sebuah riwayat yang menyebutkan bahwa pada hari kiamat nanti, antara amalan keburukan dan kebaikan akan ditimbang, satu yang lainnya akan saling memangkas. Lalu tersisalah satu kebaikan dari amalan-amalan kebaikan tadi yang menyebabkan pelakunya masuk syurga.

Itulah dia amalan puasa yang akan tersimpan di sisi Allah. Amalan kebaikan lain akan memangkas keburukan yang dilakukan oleh seorang hamba. Ketika tidak tersisa satu kebaikan kecuali puasa, Allah akan menyimpan amalan puasa tersebut dan akan memasukkan hamba yang memiliki simpanan amalan puasa tadi ke dalam syurgaNya.

DUA KEBAHAGAIAAN YANG DIRAIH OLEH ORANG YANG BERPUASA

Dalam hadits di atas dikatakan :

“Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya.”

PERTAMA : KETIKA SESEORANG BERBUKA PUASA

Ketika berbuka, jiwa begitu ingin mendapat hiburan dari perkara-perkara yang dia rasakan tidak menyenangkan ketika berpuasa, iaitu jiwa sangat senang menikmati makanan, minuman dan menggauli isteri. Jika seseorang dilarang dari berbagai macam syahwat ketika berpuasa, dia akan merasa senang jika perkara-perkara tersebut dibenarkan semula.

KEDUA : KETIKA SEORANG HAMBA BERJUMPA DENGAN RABBNYA

Di mana ia akan menjumpai pahala amalan puasa yang dia lakukan tersimpan di sisi Allah swt. Itulah ganjaran besar yang sangat dia perlukan.

Allah swt berfirman :

“Dan kebaikan apa sahaja yang kamu perbuat untuk dirimu niscaya kamu memperolehi (balasan) nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya.” (QS Al Muzzammil : 20)

“Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (dimukanya).” (QS Ali Imran : 30)

“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.” (QS Al Zalzalah : 7)

BAU MULUT ORANG YANG BERPUASA DI SISI ALLAH

Ganjaran bagi orang yang berpuasa yang disebutkan pula dalam hadits di atas adalah :

“Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.”

Seperti kita tahu bersama bahwa bau mulut orang yang berpuasa apalagi di siang hari sungguh tidak mengenakkan.

Namun bau mulut yang seperti ini adalah bau yang menyenangkan di sisi Allah kerana bau ini dihasilkan dari amalan ketaatan di samping mengharapkan ridha Allah. Sebagaimana juga darah orang yang mati syahid di mana pada hari kiamat nanti, warnanya adalah warna darah, namun baunya adalah bau minyak kasturi.

Keharuman bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah ini ada dua sebab :

PERTAMA :

Sebagaimana dijelaskan sebelumnya bahwa puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan Allah di dunia. Ketika di akhirat, Allah pun menampakkan amalan puasa ini sehingga makhluk pun tahu bahwa dia adalah orang yang gemar berpuasa.

Allah memberitahukan amalan puasa yang dia lakukan di hadapan manusia lainnya kerana dahulu semasa di dunia, dia berusaha kuat untuk menyembunyikan amalan tersebut dari orang lain.

Inilah bau mulut yang harum yang dinampakkan oleh Allah di hari kiamat nanti kerana amalan rahsia yang dia lakukan.

KEDUA :

Barangsiapa yang beribadah dan mentaati Allah, sentiasa mengharapkan ridha Allah di dunia melalui amalan yang dia lakukan, lalu muncul dari amalannya tersebut bekas yang tidak terasa enak bagi jiwa di dunia, maka bekas seperti ini tidaklah dibenci di sisi Allah. Bahkan bekas tersebut adalah sesuatu yang Allah cintai dan baik di sisiNya.

Ini disebabkan kerana bekas yang tidak terasa enak tersebut muncul dalam rangka melakukan ketaatan dan mengharap ridha Allah. Oleh kerana itu, Allah pun membalasnya dengan memberikan bau harum pada mulutnya yang menyenangkan seluruh makhluk, walaupun bau tersebut tidak terasa enak di sisi makhluk ketika di dunia.

Inilah beberapa keutamaan amalan puasa.

Inilah yang akan diraih oleh seorang hamba yang melaksanakan amalan puasa yang wajib di bulan Ramadhan mahupun amalan puasa yang sunnah dengan berlandaskan keikhlasan dan sentiasa mengharap ridha Allah.

Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami sehingga kami mampu meraih keutamaan dari amalan puasa Ramadhan yang kami lakukan. Kurniakanlah kepada kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik serta amalan yang diterima sehingga kami bergembira apabila bertemu denganMu dan mendapati pahala yang melimpah ruah yang disimpan untuk kami hasil dari puasa kami di dunia.