Tentang saya

My photo
"Katakanlah, inilah jalanku, mengajak aku kepada Allah dengan hujjah yang nyata, aku dan yang mengikutiku, dan mensucikan Allah, dan tidak aku dari golongan musyrikin" Surah Yusuf ayat 108.

Thursday, August 18, 2011

Puasa dalam Menyubur Ihsan dan Takwa


Ramadhan tiba, dan seperti biasa Ramadhan adalah bulan yang menjadikan kita sangat akrab kepada ibadah dan berpuasa. Namun sedarkah kita apakah tujuan Allah memperuntukkan satu bulan yang mulia untuk kita tidak makan dan minum serta menahan diri daripada kehendak fizikal kita yang lain? Allah Maha Bijaksana, tidak disyariatkan sesuatu melainkan ada matlamat dan tujuannya.

Matlamat puasa yang utama dalam erti kata yang sebenar adalah untuk memupuk diri kita menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana Allah swt berfirman :
''Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.'' (QS Al Baqarah : 183)
Taqwa bermakna takut kepada Allah swt. Rasa takut kepada Allah swt itu dizahirkan dengan menjalankan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Dua perkara inilah menjadi kayu ukur untuk menilai samaada kita termasuk dalam golongan bertakwa atau sebaliknya.
 
Seseorang yang mentaati dua perkara ini secara zahirnya digolongkan sebagai orang yang bertakwa. Namun merujuk kepada sabda Rasulullah s.a.w.


''Taqwa itu di sini, taqwa itu di sini, dua kali atau tiga kali, sambil beliau menunjuk dengan tangan beliau ke arah dadanya.'' (HR Ahmad)
Taqwa itu tempatnya di hati yang selalu ingat kepada Allah swt. KIta yang berusaha menanam takwa dalam hati, maka akan wujud s
uatu kesedaran yang mendalam pada diri kita bahawa Allah swt sentiasa hadir dalam kehidupan kita. Kita akan sedar dan insaf akan Allah bersama kita dan melihat kita dalam segala ruang dan waktu.
Sebagaimana Allah swt telah berfirman :
''Dan Dia bersamamu di mana pun kamu berada. Dan Allah Maha Mengetahui tentang segala sesuatu yang engkau kerjakan.'' (QS Al Hadid : 4)
Kesedaran ini dalam agama kita disebut juga dengan istilah "ihsan".
Mengenai makna "ihsan", Rasulullah saw telah bersabda :
''Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan engkau melihatNya, dan jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.'' (HR Bukhari)
Sikap ihsan ini akan menjadikan kita sentiasa melaksanakan apa sahaja suruhan Allah kerana kita tahu Allah sentiasa bersama kita. Kita akan takut berbuat dosa dan maksiat kerana Allah sentiasa melihat kita. Dengan ihsan ini juga kita akan sedar bahawa Allah sentiasa menilai kita, maka ini akan mendorong kita berbuat kebaikan demi mencapai redha Allah.

Maka dari kesedaran takwa dan ihsan yang memenuhi kalbu kita, akan memancarlah sifat-sifat mulia dan terpuji pada perilaku seseorang dalam kehidupan kita sehari-hari. Jika setiap individu dalam masyarakat memiliki sikap dan perilaku yang demikian, maka akan tercipta suatu kehidupan masyarakat ideal yang bermoral dan beradab.


Inilah gambaran sebuah masyarakat yang dibangun di atas asas taqwa kepada Allah swt di mana salah satu wasilah untuk mewujudkannya adalah melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Sama-sama kita doakan moga ibadah puasa serta ibadah yang lain dalam bulan Ramadhan diredhai Allah serta dapat menyubur takwa dan kebaikan dalam hati kita juga kehidupan kita seluruhnya. InsyaAllah, amin.

No comments:

Post a Comment