Tentang saya

My photo
"Katakanlah, inilah jalanku, mengajak aku kepada Allah dengan hujjah yang nyata, aku dan yang mengikutiku, dan mensucikan Allah, dan tidak aku dari golongan musyrikin" Surah Yusuf ayat 108.

Friday, December 30, 2011

Usrah sebagai wasilah tarbiyah

ASAS TARBIYAH

Tarbiyah Islamiyah harus berasaskan Al-Quran dan As Sunnah melalui pelbagai wasilah sehingga mampu menghasilkan individu yang menyeru kepada kebaikan Islam juga beramal dengan ilmunya.

"Kenalilah Tuhanmu, perbaikilah dirimu dan serulah orang lain. Tegakkan daulah Islam dalam hatimu, niscaya ia akan tertegak di atas muka bumi".

Tarbiyah mempunyai beberapa ciri berikut:
a. Bersifat rabbani.
b. Mempunyai asas yang tetap.
c. Bertepatan dengan fitrah.
d. Merangkumi seluruh aspek kehidupan secara seimbang.
e. Menyatupadukan tenaga-tenaga manusia.
f. Optimis, positif dan praktikal yang dibangunkan di atas asas aqidah, ibadat dan
syariah.

Semua ciri-ciri di atas diperlukan dalam rangka untuk mencapai kemuliaan insan bagi menegakkan semula tamadun Islam. Daripada asas di atas, maka dibentuk pula keluarga Islam, kemudian masyarakat Islam dan seterusnya kerajaan Islam.

Oleh sebab itu, tarbiyah secara perlahan tetapi berterusan menjadi antara unsur yang tetap agar kita akan memperolehi individu muslim sebagai titik tolak perubahan sebagaimana yang ditunjukkan oleh manhaj Rasulullah saw.

Maka, mengikut Imam Hasan Al Banna, wasilah untuk melaksanakan tarbiyah sebegitu ialah melalui USRAH.



PENGERTIAN USRAH

Usrah dalam pengertian bahasa Arab ialah :

“Kumpulan individu-individu muslim yang beriman dengan agama ini, berusaha untuk tolong menolong antara satu sama dengan yang lain bagi memahami dan menghayati Islam.”

Dr Ali Abdul Halim Mahmud pernah berkata bahwa :

“Pengurusan yang paling penting dalam jamaah adalah pengurusan usrah, kerana ia merupakan batu bata pertama dalam bangunan. Apabila pengurusan usrah baik, maka baik pulalah keadaan jamaah secara keseluruhan, demikian juga sebaliknya.”

Begitu juga Hasan Al Hudhaibi menyebut bahwa :

“Sistem usrah tidak lain merupakan hakikat Islam di kalangan Ikhwan. Jika mereka telah merealisasikan perkara itu pada diri mereka sendiri, maka adalah benar bahwa mereka menantikan datangnya pertolongan yang dijanjikan Allah kepada orang-orang yang beriman.”

KEPENTINGAN USRAH

Usrah menjadi wasilah tarbiyah yang penting oleh sebab-sebab berikut :

1. Melaksanakan perintah Allah untuk belajar seumur hidup.
2. Ikut sunnah Rasul dalam membina para sahabat dalam sistem usrah.
3. Wasilah paling berkesan bagi membentuk Syakhsiyah Islamiyah.
4. Melatih amal jama’ie dalam mempertahankan kewujudan jamaah Islam.
5. Jalan yang paling tepat untuk takwin ummah.

TUJUAN / SASARAN USRAH

Pembentukan melalui usrah dilaksanakan bagi mencapai tujuan atau sasaran berikut :

1. Tercapainya ‘muwashofat’ / kenaikan ‘mustawa’ (peringkat)

Ukuran produktiviti adalah seramai mana mutarabbi berhasil naik ke ‘mustawa’ berikutnya manakala ukuran kenaikan ‘mustawa’ adalah sejauh mana mutarabbi mencapai ‘muwashofat’ yang telah ditetapkan.

Karakter yang perlu diwujudkan itulah yang disebut dengan ‘muwashofat’.

Tugas murabbi ialah membimbing mutarabbi untuk mencapai ‘muwashofat’ yang telah ditetapkan.

Kenaikan ‘mustawa’ adalah cara untuk menempatkan seseorang sesuai dengan tempatnya dalam susunan jamaah di samping mengukur kapasiti seseorang dalam memikul bebanan dakwah.

2. Tercapainya pembentukan murabbi / naqib

Sebagai wadah pembentukan aktivis dakwah, ukuran produktiviti adalah sejauh mana mutarabbi berhasil menjadi murabbi / naqib.

Ini adalah kerana tidak ada wasilah lain yang dapat melahirkan murabbi / naqib kecuali usrah. Usrah tidak akan tersebar ke dalam masyarakat jika tidak lahir murabbi-murabbi / nuqaba’ baru yang akan mengembangkan pembinaan melalui usrah.

Membentuk ummah yang Islamik adalah wajib dan oleh yang demikian, cara mewujudkannya juga menjadi wajib. Cara yang paling berkesan untuk membentuk ummah yang Islamik adalah dengan mentarbiyah ummah melalui usrah maka pembentukan murabbi / naqib menjadi wajib kerana tidak mungkin usrah itu ada jika tidak ada murabbi / naqib.

Mengikut Dr Abdullah Qadiri Al Ahdal :

“Sesungguhnya seorang akh yang benar tidak dapat tidak kecuali dia mesti menjadi murabbi.”

Manakala Ustaz Mustafa Masyhur pula berkata :
“Murabbi perlu membiasakan binaannya untuk memberikan sumbangan, menyeru orang lain kepada Allah dan menyampaikan berbagai pelajaran. Bahkan ia perlu membentuk mereka menjadi murabbi yang melakukan tugas seperti dia bagi binaan-binaan yang baru.”

3. Tercapainya pengembangan potensi.

Ukuran produktiviti adalah sejauh mana mutarabbi berhasil mengembangkan potensinya. Potensi terbahagi kepada dua :

a. Potensi umum yang meliputi kreativiti, komunikasi dan kepimpinan.
b. Potensi khusus di mana mutarabbi mampu menzahirkan tarbiyah dalam profesion seharian seperti berniaga, kemahiran komputer dan menulis, kecerdasan matematik, bidang kedoktoran, kimia, fizik dan lain-lain.

Tugas murabbi adalah membantu mutarabbi menemukan dan mengembangkan potensi umum atau khusus tersebut.

ASAS USRAH

Terdapat 3 asas usrah iaitu:

1. Ta’aruf.
2. Tafaahum.
3. Takaaful.

1. TAARUF

Ia adalah rukun yang pertama. Hendaklah kita saling kenal mengenali dan berkasih sayang kerana Allah.

Hayatilah pengertian ukhuwah yang sahih dan sempurna di kalangan kita dan berusaha agar hubungan ini tidak dicemari oleh sesuatu.

Allah swt berfirman dalam surah Al Hujuraat :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara".


2. TAFAHUM

Selepas mengenali, seharusnya dalam usrah perlu ada saling memahami setiap individu dari segi sifat dan sikap, kegemaran, perlakuan, cara hidup serta prinsip hidup.

Melalui rukun yang kedua ini, setiap anggota dalam usrah akan saling menyokong dan memberi serta menjadi contoh antara satu sama lain dalam perkara-perkara kebaikan. Ia juga akan mendorong muhasabah diri di mana setiap anggota boleh menasihati saudaranya jika ia melihat sebarang kesilapan atau kekurangan yang perlu dibaiki.

3. TAKAFUL

Sabda Rasulullah saw ;

"Usaha seseorang untuk memenuhi hajat saudaranya lebih baik baginya dari beri’tikaf sebulan dalam masjidku ini".

Hendaklah kita saling membantu bantu, pikul memikul masalah dan tanggungjawab antara kita. Ini adalah sebuah tuntutan iman yang nyata dan intipati ukhuwah di mana kita hendaklah sentiasa saling bertanya khabar dan bersegera sedaya upaya untuk membantu pihak yang memerlukannva.


TUNTUTAN UKHWAH DALAM USRAH





Usrah juga menjadi sebagai wasilah bagi melaksanakan tuntutan ukhuwah. Seterusnya, usrah akan mampu memperkasakan ‘intima'’ (penggabungan dengan Islam dan jamaah).

Dalam usrah yang berteraskan ukhwah Islamiyyah, terdapat di dalamnya ketenangan, kasih sayang dan Rahmat Allah.

Ketuanya dinamakan ‘naqib’ sebagai mengikuti tindakan Rasulullah saw dalam Bai’ah Aqabah yang kedua selepas kepulangan Mus'ab bin Umair dari Madinah bersama 73 orang lelaki dan dua orang perempuan.

Apabila selesai berbai’ah, Rasulullah saw meminta mereka memilih dua belas orang di kalangan mereka sebagai ‘naqib’. Alangkah bijaknya tindakan Rasulullah saw itu.

NAQIB / NAQIBAH SERTA KEPIMPINAN

Tarbiyah dalam usrah harus diperkuatkan dengan peranan murabbi dalam menguatkan kepimpinan, menunjukkan ‘qudwah’ dan menguatkan ukhwah serta kebersamaan. Dalam usrah, naqib / naqibah berhak untuk mentarbiyah, mengarah serta perlu ditaati.

Kepimpinan dalam usrah bertanggungjawab besar dalam menjalankan tarbiyah. Beberapa rangka perlaksanaan usrah yang perlu difahami dan dijalankan oleh naqib bagi memastikan perjalanan usrah dan keberkesanan dakwah.




TARBIYAH MELALUI USRAH DAN DAKWAH

Imam Hasan Al-Banna berkata :

"Islam menitik beratkan pembentukan usrah-usrah yang mendorong ahli-ahlinya ke arah nilai-nilai yang tinggi, memperkuatkan ikatan ukhuwah, menaikkan taraf bercakap dan berteori kepada taraf beramal dan perbuatan. Rukun ikatan ini ada tiga, maka peliharalah dan berikan tumpuan untuk melaksanakannya agar ia tidak sekadar tugasan tanpa ruh.”

Usrah adalah suatu proses tarbiyah yang mengandungi unsur-unsur ilmu, fiqh dan kefahaman serta memerlukan murabbi dalam satu naungan.

Dalam usrah, terdapat beberapa rangka kerja yang perlu dirancangkan di setiap peringkat (mustawa'). Antara perancangan rangka kerja adalah:

1. Menentukan objektif setiap peringkat
2. Menetapkan bahan serta wasilah untuk menyampaikan ilmu dan tarbiyah
3. Menggariskan tahap-tahap amal.

Ikatan usrah amat perlu dalam memastikan amal tarbawi yang produktif dan berterusan. Dengan tarbiyah melalui usrah yang erkesan akan lahir individu-individu yang berkualiti dan keluarga-keluarga Islam yang diikat dengan hubungan kasih-sayang serta masyarakat Islam yang bertakwa dan berjaya.




Imam Hasan Al-Banna telah mengenal pasti bahawa proses tarbiyah tidaklah semudah yang disangka oleh kebanyakan orang. Umat Islam telah menghadapi serangan pemikiran, kekeliruan dan keperibadian.

Semua penyakit itu tidak dapat dirawat dalam masa sehari semalam. Tidak cukup dengan kuliah, ceramah atau kursus di sana sini oleh pemikir Islam atau para ulama’. Selepas ceramah, kursus dan kuliah, masing-masing membawa diri. Begitu juga dengan risalah atau makalah, kesannya akan hilang selepas habis membacanya.

Rawatan itu memerlukan kesabaran dan Tarbiyah Islamiyah yang panjang dalam satu naungan tarbawi iaitu ‘usrah’.

la juga perlu kepada murabbi yang memiliki ciri-ciri tertentu. Ini disebabkan tarbiyah yang merupakan unsur tetap dakwah memerlukan satu usaha yang bersungguh-sungguh tanpa henti agar dapat melahirkan ‘rijal’, bukannya tulisan atau buku.

Proses ini memerlukan :

1. Manhaj yang betul.
2. Ketekunan amal.
3. Akhlak yang mantap.
4. Polisi nafas panjang.
5. Kesabaran.
6. Nasihat yang baik.
7. Hujah yang jelas.
8. Kepekaan dan pemantauan yang teliti dan berhati-hati.

Inilah usrah atau pun manhaj Islam bagi menghadapi arus kehidupan secara sempurna. Ia juga merupakan dakwah yang sebenar yang mampu membetulkan kefahaman. Maka usaha ini memerlukan tarbiyah yang bermanhajkan Al-Kitab, As-Sunnah dan pengalaman salafus soleh yang berpegang teguh dengan ‘al-Usul al-Fiqh’ dan ‘al-Qawaid al-Syariah’.

Semua tugas ini tidak akan berjaya melainkan dengan rasa tanggungjawab ‘naqib’ terhadap anak-anak didiknya di mana ia perlu menerangkan kepada mereka sejelas-jelasnya apakah tanda dan isyarat ketika melalui jalan ini (dakwah) agar tidak timbul kerumitan dan kekaburan.

Pembentukan kumpulan usrah yang produktif akan membentuk individu jamaah yang unggul. Maka kerana itulah diletakkan secara jelas segala peraturan, pengurusan, wacana dan matlamat. Dakwah yang dijana dalam usrah seharusnya menghasilkan beberapa kekuatan kepada naqib dan mutarabbi iaitu dari segi:

a. Kejelasan fikrah Islamiyyah dan fiqh dakwah
b. Kesepaduan tasawwur dan suluk berasaskan ilmu serta panduan Al-Quran dan sunnah
c. Kesatuan tujuan kehidupan di dunia dan pencapaian matlamat redha Allah serta kesudahan yang mulia di akhirat.
d. Kesatuan matlamat dalam menegakkan Iman dalam setiap diri mukmin dan kesatuan wacana yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Di sini dibawakan contoh agenda usrah yang boleh meninggalkan kesan tarbawi yang besar dalam kehidupan individu :

Pertama:

Setiap akh membentangkan permasalahannya agar dapat dikongsi oleh orang lain demi mendapatkan penyelesaian dalam suasana ukhuwah dan ikhlas.

Itu semua boleh memantapkan ‘thiqah’ (kepercayaan) dan memperkukuhkan ikatan persaudaraan di mana seorang mukmin itu adalah cermin bagi saudaranya sehingga tercapai apa yang disabdakan Rasulullah saw :

"Perumpamaan hubungan kasih sayang dan simpati sesama mukmin seperti satu jasad, jika satu anggota mengadu sakit niscaya anggota-anggota yang lain akan turut berasa sakit dan berjaga malam".

Kedua :

Mengkaji dan bermuzakarah tentang urusan umat Islam di samping menerima arahan-arahan daripada pimpinan.

Usrah bukanlah tempat untuk berdebat atau mengangkat suara. Itu adalah haram di sisi fiqh usrah, sebaliknya usrah merupakan tempat untuk penjelasan dan penerangan dalam suasana beradab dan saling hormat-menghormati.

Ketiga :

Mengkaji buku-buku yang berkualiti yang mendatangkan manfaat kepada individu agar tercapai objektif keperibadian Islam sebagai agen perubah.



RUJUKAN

http://tinta-perjalananku.blogspot.com/

Wednesday, December 28, 2011

Perancangan Gerak Kerja Islam

Allah telah berfirman dalam Surah Ali Imran:
"Dan berapa banyak para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. Tidak ada doa mereka selain ucapan: "Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami, dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. Kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala di akhirat. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan." (QS Ali Imran : 146-148)
 
Beberapa pengajaran dari ayat ini adalah:
1. Islam amat menggalakkan kerja-kerja dakwah yang digerakkan oleh lebih ramai mujahid. Ini kerana semakin mendekati berakhirnya zaman, semakin besar cabaran dalam menegakkan syiar. Maka, tenaga dan fikiran para pendakwah yang ramai adalah amat perlu.
 

2. Keperluan para pendakwah yang berkualiti menjadi teras gerak kerja Islam. Antara sifat pendakwah dalam ayat ini adalah tidak mudah lemah dengan dugaan dan tidak mudah menyerah dalam usaha membangunkan Islam. Pendakwah seharusnya meletakkan kesabaran sebagai nadi perjuangan. 

Sebagaimana firman Allah:

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (QS Al Fushshilat : 33)
 
3. Para dai juga harus sentiasa memperbaiki diri serta bermohon kepada Allah agar diampunkan segala dosa sekiranya berada dalam keadaan melampaui batas atau berlebihan.
 
PERANCANGAN GERAK KERJA ISLAM
 
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” – Firman Allah (Surah Al-Imran 3:104)
 
PERANCANGAN PERTAMA

Perancangan yang pertama adalah memperbanyakkan penjanaan aktivis iaitu penggerak dalam dakwah. Merekrut aktivis dakwah adalah usaha untuk memberi jalan kepada manusia bagi mendapatkan hidayah dan pilihan Allah swt. Hasil akhirnya bergantung kepada kesediaan manusia untuk datang kepada Allah dan pada kehendak mutlak Allah swt sendiri.

Ini adalah kerana seorang pendakwah tidak mampu memberi hidayah tetapi sebenarnya ia hanya mampu menuntun manusia kepada hidayah itu.
 
"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya. Dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk." (QS Al Qashash : 56)
 
Perhatikan peringatan Allah swt :
 
"Tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." (QS Ali Imran : 79)
 
Maka dengan ini, pendakwah seharusnya dikembangkan potensinya untuk menjadi generasi rabbaniyyin yang mentauhidkan Allah dan menjadikan dakwah sebagai jalan hidupnya, Bukan sekadar pengikut fanatik suatu organisasi semata-mata tanpa mendalami matlamat gerak kerja Islam sendiri.

PERANCANGAN KEDUA

Perancangan kedua adalah dengan meningkatkan kualiti aktivis Islam atau para pendakwah. Ini dapat dilakukan dengan mencontohi agenda Tarbiyah Islamiyah yang dilakukan oleh Rasulullah saw.
 
Antara agenda tersebut adalah:
1. PENGUKUHAN KEYAKINAN

Sebagai murabbi, Rasulullah saw sentiasa mengingatkan para sahabat baginda akan keyakinan dalam gerakan Islam khususnya ketika para sahabat mengalami ujian dan cubaan yang sukar dalam kehidupan mereka. Kunci keyakinan adalah didasarkan kepada keimanan yang teguh terhadap Allah swt, keyakinan yang kuat tentang kebenaran Islam, kefahaman yang meluar tentang dakwah serta kerinduan terhadap ganjaran syurga
 
Antara usaha yang perlu dilakukan pada masa kini melalui pelbagai program menyeluruh untuk aktivis Islam. Antaranya seperti :
 
1.      Perjumpaan dan usrah yang berterusan bagi terus menghidupkan dan menyuburkan ruh pengabdian kepada Allah
2.      Pengkajian sejarah kehidupan para anbiya’, para salafus-soleh dan para mujahid dakwah yang akan memberi pengaruh yang kuat terhadap kekukuhan dukungan terhadap Islam dan dakwah.
3.      Diskusi dan forum yang membincangkan manhaj dakwah dan asas-asasnya, perlu dilakukan secara rutin pada bahagian awal perjumpaan yang bersifat ‘tarbawi’ atau ‘tanzhimi’.
4.      Penilaian hasil kerja dakwah, bukan sahaja dari sudut-pandang pengurusan, tetapi juga pengajaran dan hikmah ‘rabbaniyah’ yang terkandung di dalamnya.
 
 
2. PENGUKUHAN PENGHAYATAN AL-QURAN
Rahsia kedua adalah kuatnya interaksi secara langsung antara ayat-ayat Allah dengan perjalanan kehidupan. Sebagaimana yang kita fahami bersama, turun naik perjalanan kehidupan Rasulullah saw bersama sahabat-sahabatnya adalah seiring dengan turunnya ayat-ayat Al Qur’an sehingga, bukan sahaja kehidupan itu berjalan di bawah bimbingan atau pengarahan dari langit (Taujih Rabbani), tetapi juga dapat dilihat dari interaksi secara langsung dan kuat dengan Al-Qur’an sebagai acuan kehidupan (Minhajul-Hayah).
 
Inilah yang menjadi sebab kenapa Sayyid Qutb menyebut para sahabat itu sebagai Generasi Al Quran (Jiil-Qur’ani).
 
Dalam konteks semasa, interaksi dengan Al Qur’an bukan hanya sebatas aspek tilawah, hafazan dan kefahaman, namun yang lebih penting adalah pada sisi pengamalan Islam dan dakwah yang terus mengarah kepada bimbingan Al Qur’an. Sudah semestinyalah, setiap aktivis dakwah mampu menjelaskan seluruh aktiviti hariannya dengan acuan Al Qur’an dan berusaha untuk menemui jawaban ke atas seluruh persoalan-persoalan hariannya dalam Al Qur’an.
 
Salah satu kayu ukur dalam menilai sudut ini ialah apabila seseorang aktivis dakwah itu memiliki kedekatan dengan Al Qur’an terjemahan di mana melalui terjemahan inilah aktivis-aktivis dakwah tersebut akan sentiasa mentadabbur ayat-ayat Allah untuk memahami dan menjelaskan kehidupannya.
 
Untuk menjawab halangan-halangan terhadap peningkatan kualiti ini, maka perlu segera dilakukan usaha mendekatkan interaksi seseorang aktivis dengan Al Qur’an. Misalnya dalam enam bulan pertama memulai proses tarbiyah, setiap ‘mutarabbi’ dibuat perancangan supaya mampu menguasai bacaan Al Qur’an dengan baik. Enam bulan berikutnya, mereka diprogramkan untuk menghafal ayat-ayat keimanan, khususnya pada juz 30. Masa-masa seterusnya, program hafazan Al Qur’an disesuaikan dengan tema-tema pembahasan tarbiyah sehingga kefahaman keislaman dan fikrah dakwah dapat diikuti dengan hafazan ayat-ayat yang berkaitan.
 
Kegiatan ‘taushiyah’ dalam ‘liqa’ tarbawi’ boleh diselang-selikan dengan ulasan tafsir dari ayat-ayat tilawah yang sedang dibaca. Tentu sahaja, ulasan tafsir ini diarahkan untuk merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang sudah banyak diterjemahkan. Begitu juga pembahasan terhadap berbagai permasaalahan dakwah perlu diusahakan untuk melihat kepada tinjauan terhadap Al Qur’an sehingga kefahaman dan penguasaan aktivis terhadap makna dan pengajaran dari ayat-ayat Al-Qur’an tersebut menjadi kuat.
 
3. BIMBINGAN KEPADA PENERAPAN AMAL
Islam adalah agama amal dalam ertikata bahwa Islam mengutamakan kebaikan amal sebagai bukti dari keimanan dan kefahaman. Seterusnya, penerapan amal justeru akan mempercepatkan dan memperkukuhkan bangunan keimanan dan kefahaman terhadap Islam. Tentu sahaja semua ini dilakukan dengan menjaga agar setiap amal yang dilakukan sentiasa berlandaskan keikhlasan dan kefahaman.
 
Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dalam mentarbiyah umatnya. Mereka menjadi ‘Qaumun ‘Amaliyyun’ atau orang yang sentiasa beramal.
 
"Dan katakanlah: "Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya beserta orang-orang mu’min akan melihat amalmu itu. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata. Lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (QS At Taubah : 105)
 
Ketika arahan amal begitu kuat dalam Islam, hal ini mendorong para sahabat untuk sentiasa berkomunikasi dan bermesyuarat dengan Rasulullah saw dalam kapasiti baginda sebagai nabi, ketua dan juga hakim. Dari sinilah kefahaman mereka bertambah seiring dengan banyaknya amal. Kebaikan mereka berlipat kali ganda seiring dengan kesalahan yang diperbaiki. Keyakinan mereka menjadi semakin kuat seiring dengan kemenangan amal yang mereka raih sehingga akhirnya, keyakinan Islam mereka semakin kukuh kerana Rasulullah saw sentiasa menjanjikan balasan syurga kepada mereka yang berjaya dalam beramal soleh.
 
Tarbiyah bukanlah semata-mata untuk tarbiyah, tetapi tarbiyah adalah untuk dakwah. Kita adalah pertubuhan dakwah, bukan pertubuhan tarbiyah. Oleh kerana itu, peningkatan kualiti aktivis dakwah akan menuju kepada prinsip ini iaitu bagaimana para ‘mutarabbi’ sejak awal tarbiyahnya lagi diarahkan dan dibimbing untuk mulai mengamalkan Islam dan dakwahnya.
 
Murabbi yang berjaya adalah yang mampu menjadikan mutarabbinya sebagai subjek dakwah dan bukan objek dakwah.
 
Ingatlah firman Allah swt :
 
"Tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." (QS Ali Imran : 79)
 
Akhirnya kita menemui satu kata kunci iaitu ‘Tajribah Maidaniyah’ atau pengalaman di medan sebenar adalah cara yang berkesan untuk mematangkan keyakinan, kefahaman dan kemampuan amal seseorang aktivis.
 
Ilmu Allah yang sangat luas akan diajarkan kepada kita ketika kita ada di medan kehidupan sebenar untuk mengamalkan ajaran Islam dengan penuh tawakal.
 
"... Dan bertakwalah kepada Allah, niscaya Allah akan mengajarkanmu. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (QS Al Baqarah : 282)

4. KETELADANAN DAN KEPIMPINAN YANG BAIK

Perilaku dan amal para pendakwah adalah cerminan dari dakwahnya. Mereka adalah teladan dalam pembicaraan dan amalan.
 
Slogan mereka adalah "Ashlih Nafsaka, Wad’u Ghairaka" (perbaiki dirimu, kemudian serulah orang lain).
 
Rasulullah saw telah menampilkan keteladanan ini dalam dirinya. Sungguh, baginda adalah teladan yang sempurna bagi manusia. Baginda adalah teladan bagi setiap pendakwah, setiap pemimpin, setiap bapa dari anak-anaknya, setiap suami dari isterinya, setiap sahabat, setiap murabbi, setiap pengamal politik dan berbagai tingkatan sosial manusia yang lain.
 
Dengan cara inilah, Rasulullah saw berjaya dalam membentuk sahabat-sahabatnya. Islam menampilkan keteladanan sebagai wasilah dakwah dan tarbiyah yang paling berkesan sehingga Islam menetapkan sistem tarbiyah yang berterusan berdiri kukuh di atas dasar prinsip keteladanan tersebut.
 
Sesungguhnya, kebaikan amal seorang pendakwah adalah khutbah yang paling mantap. Akhlaknya yang mulia bagaikan "sihir" yang memikat hati. Oleh kerana itulah, seorang pendakwah yang berjaya adalah pendakwah yang mengajak kepada kebenaran dengan perilakunya, meskipun dia sedikit berbicara. Ini adalah kerana peribadinya telah menjadi contoh yang hidup dan bergerak memperagakan prinsip-prinsip yang diyakininya.
 
Munculnya gejala penurunan kualiti aktivis dakwah sekarang ini berkemungkinan disebabkan kerana lemahnya keteladanan yang ditampilkan oleh para pendakwah dan para pemimpin. Masyarakat tidak dapat belajar secara langsung tentang kebaikan dari pendakwah dan pemimpinnya atau bahkan mereka mungkin dikejutkan dengan perilaku yang kontradiktif dari pendakwah dan pemimpinnya.
 
Untuk tujuan tersebut, walauapapun usaha peningkatan kualiti aktivis yang akan kita lakukan, pada akhirnya ianya perlu disempurnakan dengan keteladanan dan kepimpinan yang baik dari para murabbi dan pendakwah. Kita tidak berhak menegur aktivis dakwah yang lemah kualitinya, selama mana kita sendiri belum mampu mengajarkan dan menunjukkan mereka tentang keteladanan.
 
PERANCANGAN KETIGA
Perancangan ketiga adalah mengembangkan iklim nasihat menasihati. Masyarakat mu’min di antara ciri-cirinya adalah kuatnya budaya ‘taushiyah’ (nasihat menasihati) dan ‘amar ma’ruf nahi munkar’. Mereka memandang perkara ini sebagai keperluan untuk menjaga kebaikan Islam. di samping sebagai hak kewajiban seorang mu’min ke atas mu’min lainnya dan yang lebih penting, ini merupakan salah satu misi dakwah Islam.
 
Dalam sejarahnya, kehancuran umat terdahulu adalah kerana mereka tidak mengembangkan iklim ‘taushiyah’ dan ‘amar ma’ruf nahi munkar’. Boleh jadi hal ini bukan kerana kebodohan mereka terhadap ajaran agama, tetapi kerana kungkungan budaya tertentu. Misalnya sikap takut untuk menegur orang lain terutama yang status atau darjat sosialnya dianggap lebih tinggi atau rasa tidak sedap hati yang akan menyinggung perasaan orang lain. Sikap-sikap ini akan membawa kepada  pengabaian terhadap kesalahan yang berlaku kepada saudara kita. Jika perkara ini terus berlaku, maka sensitiviti kita terhadap kemunkaran yang berlaku dalam kehidupan dakwah boleh lenyap. Inilah pintu malapetaka yang nyata bagi dakwah.
 
Ada banyak cara untuk mengembangkan iklim ini. Yang paling asas adalah menghidupkan kembali suasana Ukhuwah Islamiyah di kalangan aktivis. Manakala interaksi persaudaraan  hidup dengan baik di mana sesama aktivis saling menjalin silaturahim dan berbagai bentuk mu’amalah lainnya.
 
Ini akan membuatkan seorang akh mengenali dengan betul keadaan saudaranya yang lain. Semakin kita kenal dengan saudara yang lain, semakin kita tahu akan kebaikan atau kekurangannya. Di sinilah peluang amal soleh untuk melakukan ‘taushiyah’ terbuka. Secara tabi’ienya, seseorang merasa lebih nyaman dan lapang apabila yang memberi ‘taushiyah’ adalah orang yang dekat dengannya.
 
Kemudian, peranan ‘taushiyah’ yang dilakukan setiap murabbi iaitu bagaimana seorang murabbi menjadikan halaqah tarbiyah sebagai wasilah yang berkesan untuk mentaushiyah para mutarabbinya.
 
Nasihat-nasihat yang diberikan sesuai dengan persoalan kehidupan mereka sehingga para mutarabbi sentiasa terbimbing untuk istiqamah di jalan Islam. Untuk itu, interaksi antara murabbi dan mutarabbi tidak boleh hanya sebatas di dalam halaqah semata-mata. Interaksi yang lebih bersifat peribadi di luar waktu halaqah menjadi penting agar kedua belah pihak lebih saling mengenali. Ingatlah agama itu adalah nasihat.
 
Yang terakhir yang perlu dilihat secara serious juga adalah peranan kepimpinan di semua peringkat dan tingkatan. Taushiyah seorang pemimpin yang disampaikan secara bijaksana dan penuh ungkapan kasih-sayang, bukan sahaja akan meluruskan orientasi dan proses kerja tetapi juga akan menguatkan kesepaduan organisasi kerana orang-orang yang di dalam organsasi itu tidak merasa terikat secara pentadbiran semata-mata, tapi juga dengan ikatan hati sehingga menjadi sesuatu yang sangat penting dan mendesak.
 
Ia juga penting untuk para pemimpin dakwah khususnya yang ada di bahagian operasi untuk mengukuhkan peranan kepimpinan kerohaniannya serta tidak terjebak sebatas kepimpinan pentadbiran yang fungsi dan peranan kepimpinannya hanya muncul ketika halaqah berbentuk organisasi sahaja.
 
Dalam konteks kepimpinan organisasi, perlu disediakan saluran agar antara para pemimpin dan anggota-anggota organisasinya di setiap tahap dan tingkatan boleh bertemu dan membicarakan perkara-perkara penting secara bersama. Di dalam forum ini, disampaikan perkembangan dan permasalahan dakwah yang perlu diketahui oleh para anggota dan para pimpinan berusaha untuk mendapatkan masukan-masukan yang sebanyak-banyaknya dari para anggota. Setiap anggota pula berhak untuk menyampaikan kritikan dan cadangan pembaikan secara terbuka dan konstruktif dalam forum ini.
 
Apabila iklim ‘taushiyah’ dan ‘amar ma’ruf nahi munkar’ hidup dengan baik di semua aspek, insya Allah kehidupan dakwah ini akan sentiasa sihat dan kuat kerana setiap potensi dan gejala penyakit boleh dikesan dengan cepat secara spontan.
 
Menumpuknya masalah yang mengganggu organisasi dakwah biasanya akibat dari tidak hidupnya iklim ini sehingga semua persoalan mesti ditanggung oleh organisasi.
 
Perhatikan firman Allah swt :
 
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar. Mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (QS at Taubah : 71)
 
 

Menegur sahabat demi kebaikan

Rasulullah saw pernah bersabda :
 
"Tiga perbuatan yang termasuk sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah dalam segala situasi dan keadaan, saling menyedarkan satu sama lain dan menyantuni saudara-saudaranya (yang memerlukan)." (HR Ad Dailami)


Seorang mukmin dengan mukmin lainnya adalah bersaudara. Sebagaimana firman Allah :

"Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara…." (QS Al-Hujurat : 10)


Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tolonglah saudaramu, samada dia zalim atau dizalimi. Apabila dia zalim, cegahlah. Bila ia dizalimi, menangkanlah." (HR Al-Bukhari)

Kekurangan diri mukmin merupakan ujian bagi diri sahabatnya


Hubungan sesama mukmin adalah seperti satu tubuh. Ada keterkaitan yang begitu kuat. Sakit di salah satu bahagian tubuh, bererti sakit pula di bahagian yang lain. Aib pada diri seorang mukmin, bererti aib pula buat mukmin yang lain.

Maka siapa lagi yang patut memberi teguran kalau bukan saudara sesama mukmin. Ini kerana dialah yang lebih faham keadaan daya tahan keimanan saudaranya sesama mukmin. Sabar untuk sentiasa menegur, mendekati dan memberi penyelesaian.

Allah s.w.t. mewajibkan setiap mukmin sentiasa bertaubat dan memperbaiki diri bilamana melakukan kesalahan. Sebegitu juga kewajipan seorang sahabat yang melihat sahabatnya mukmin melakukan kesalahan yang mungkin dirinya sendiri tidak menyedari. Firman Allah swt :
 
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang sentiasa menegakkan (kebenaran) kerana Allah; menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (QS Al Maidah : 8)



TEGURAN DAN NASIHAT YANG BAIK SEBAGAI SUATU RAHMAT

 Maha Agung Allah swt dalam firmanNya :
 
"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali, orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (QS Al-Ashr : 1-3)


Sesungguhnya teguran dan saling menasihati merupakan Rahmat Allah yang amat besar buat diri sahabat yang ditegur. Mungkin juga selama ini dia tidak menyedari kekhilafannya, lalu Allah menunjukkan jalan untuk dia kembali ke jalan yang benar melalui nasihat sahabatnya.

Dengan adanya amalan menasihati sesama saudara Islam, setiap muslim dan mukmin itu akan menjadi lebih baik dan tidak akan jauh tersasar dari landasan hidup yang benar, insyaAllah.
 
Rasulullah saw juga bersabda :
 
"Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya." (HR Al-Bukhari)

Sesungguhnya sahabat yang menyayangi sahabat yang lain akan sentiasa ingin sahabatnya elok dan baik. Sahabat yang menyayangi tidak akan suka melihat calit aib noda pada sahabatnya. Maka kerana itu teguran dan nasihat amat dianjurkan dalam persaudaraan Islam.

Teguran yang baik bukan untuk menjatuhkan sebaliknya meletakkan diri kembali kepada kemuliaan


Teguran juga pasti menjadi pengajaran bagi diri mereka yang memberi nasihat. Semestinya jika kita ingin menegur orang, haruslah mencermin diri kita terlebih dahulu. Adakah diri kita sendiri turut melakukan kesalahan yang sama? Adakalanya kita tidak nampak kesalahan diri kita, tetapi apabila melihat kesalahan itu pada diri orang lain, barulah kita tersedar kita juga punya kesilapan seperti itu.


Nilai kekhilafan diri terlebih dahulu sebelum menegur kesilapan orang lain



MENEGUR TANPA MENGAIBKAN SAUDARANYA

Rasulullah saw bersabda :

"Tidak akan masuk syurga orang yang suka mendengar-dengar berita rahsia orang lain." (HR Al-Bukhari)

Seorang mukmin perlu bijak menilai dan menegur sahabat yang melakukan kesalahan. Teguran hendaklah dibuat dengan penuh kelembutan dan kasih sayang serta caranya halus dan berhikmah. Mukmin juga perlu berhati-hati jangan sampai sahabatnya terasa terhina atau diaibkan di hadapan orang lain. Maka sebaik-baiknya teguran hendaklah dibuat ketika bersendirian dengan sahabat.

Namun, jika ada keperluan untuk menegur secara umum, nasihat hendaklah dilakukan secara berhikmah dan sebolehnya tidak ditujukan spesifik kepada orang tertentu sahaja. Kerana dibimbangi orang itu akan berasa malu dan terluka dengan tindakan kita.

Ya Allah, lembutkan hati kami dalam menerima nasihat agama kami serta kebaikan hidup kami, dan jadikan kami golongan yang sentiasa memberi nasihat dan menyukai kebaikan. Amin.