Tentang saya

My photo
"Katakanlah, inilah jalanku, mengajak aku kepada Allah dengan hujjah yang nyata, aku dan yang mengikutiku, dan mensucikan Allah, dan tidak aku dari golongan musyrikin" Surah Yusuf ayat 108.

Wednesday, September 26, 2012

Menghidupkan sebuah kehidupan

Tanah yang kosong dan gersang perlu dihidupkan dengan bercucuk tanam dan pembangunan, sebagaimana Baginda Nabi s.a.w juga menganjurkan, bahkan tidak kurang pula memerintahkan para sahabat untuk menanam pokok. Baginda saw bersabda :

“Tidaklah seorang Muslim yang menanam pokok atau menanam tanaman lalu tanaman tersebut dimakan oleh oleh manusia, binatang melata atau sesuatu yang lain kecuali hal itu bernilai sedekah untuknya,” (HR Muslim)

Dalam kesempatan lain baginda berkata :
Kehidupan adalah anugerah Allah
Dan rentet jalannya Allah tentukannya
Lalu hiduplah berpanduan perintah Allah
Dan jalan bahagia kita Allah aturkan sebaiknya
“Jika tiba hari kiamat sedang pada tangan dari kamu ada benih pokok kurma maka tanamlah,” (HR Ahmad)

Bagaimana pula dengan hati yang kosong dan gersang?

Kejatuhan akhlak dan kehancuran kehidupan banyak dipengaruhi oleh hati yang kosong tanpa panduan agama. Hati yang kosong itu tiada disirami iman, lalu terisi pula oleh lalang kejahilan dan kebuasan nafsu. Maka lama kelamaan sebuah kehidupan murni seorang insan akhirnya mati sebelum mati.


Merujuk kepada firman Allah swt dalam surah Al Jum'ah ayat 2::
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan (tazkiyah) mereka dan mengajarkan (ta’lim) mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah).”

Di sini, tazkiyah dinyatakan terlebih dahuli kemudian barulah ta'lim. Maka jiwa dan hati manusia perlu disucikan terlebih dahulu melalui taubat dan membersihkan sifat mazmumah. Jiwa manusia perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada penghambaan kepada nafsu dan kesenangan yang sementara kepada pengabdian kepada Allah yang mengurniakan puncak segala bahagia.

Kemudian barulah manusia itu dipenuhi hatinya tentang hakikat kehidupan yang sebenarnya. Manusia akan mencapai kefahaman tentang hakikat kehidupan apabila manusia ta'lim akan:

1. konsep Rububiyyah iaitu konsep bertuhankan Allah yang satu juga mentauhidkan keagunganNya

2. tujuan manusia diciptakan iaitu konsep Uluhiyyah yang mana untuk mengabdikan diri kepadaNya juga meminta pertolongan dalam kehidupan hanya dari Allah

3. tujuan manusia dihidupkan iaitu sebagai Khalifah yang akan mentadbir alam ini.

4. kehendak dan perintah Pencipta yang dititipkan melalui Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan ke arah kehidupan yang bahagia.

Tarbiyah merupakan satu pendekatan yang bersepadu untuk mendidik jiwa manusia ke arah suatu kehidupan yang sejahtera. Tarbiyyah dalam kehidupan ada beberapa bentuk:

PERTAMA : TARBIYAH RUHIYAH / NAFSIYAH (PENDIDIKAN KEROHANIAN / KEJIWAAN)
Pertama sekali, jiwa manusia perlu ditarbiyyah supaya wujud hati yang bersih dan mentaati Allah melalui keimanan yang luhur.

KEDUA : TARBIYAH JASMANIYAH (PENDIDIKAN FIZIKAL)
Keperluan jasad yang baik juga perlu bagi manusia menjalani kehidupan. Islam telah menganjurkan kehidupan jasmani yang sihat dan sempurna, bukan sahaja anjuran peringkat hati dan jiwa semata-mata.

KETIGA : TARBIYAH IMANIYAH (PENDIDIKAN KEIMANAN)
Ini amat ditekankan dalam kehidupan manusia, kerana iman adalah asas kepadan menusia melaksanakan kehidupan yang hidup. Iman memandu manusia agar:

1. sentiasa ingat dan tahu tujuan hidupnya dan pengabdiannya pada Allah
2. akan sentiasa mengikut lunas panduan Islam yang pastinya menuntun ke arah kebahagiaan di dunia.
3. iman merupakan nilaian paling utama bagi menjamin tempat manusia di akhirat nanti.

KEEMPAT : TARBIYAH AQLIYAH (PENDIDIKAN AKAL)
Islam amat menitik beratkan pendidikan akal kerana akal yang sihat dan sempurna merupakan punca kepada pengembangan ilmu yang menjadi sumber kejayaan kehidupan manusia.

KELIMA : TARBIYAH AKHLAQIYAH (PENDIDIKAN AKHLAK)
Kehidupan yang baik adalah diwarnai dengan akhlak manusia yang baik. Berbahagialah sebuah kehidupan jika semua orang mengamalkan akhlak Islamiyyah yang sempurna.

KEENAM : TARBIYAH FIKRIYAH (PENDIDIKAN KETAJAMAN CARA BERFIKIR)
Islam amat menggalakkan umatnya sentiasa berfikir dan merenung kejadiannya juga mengambil kebaikan dari segala penciptaanNya. Anjuran amalan berfikir dan berbincang untuk menyelesaikan permasalahan adalah bukti Islam menganjurkan umatnya maju dalam kehidupan mereka.

KETUJUH : TARBIYAH IQTISHADIYAH (PENDIDIKAN KEMAPANAN EKONOMI)
Kemantapan ekonomi amat penting dalam tarbiyyah Islam. Maka banyak aktiviti ekonomi yang halal yang dianjurkan dalam syariat untuk manusia meningkatkan taraf kehidupannya.

KELAPAN : TARBIYAH SIYASIYAH (PENDIDIKAN POLITIK)
Tarbiyyah Islam turut menggariskan asas siyasyah agar transformasi sosial ini akan membantu pembangunan masyarakat juga agenda pengembangan Islam untuk kesejahteraan ummat.