Tentang saya

My photo
"Katakanlah, inilah jalanku, mengajak aku kepada Allah dengan hujjah yang nyata, aku dan yang mengikutiku, dan mensucikan Allah, dan tidak aku dari golongan musyrikin" Surah Yusuf ayat 108.

Sunday, August 7, 2011

Ramadhan dalam Pembinaan Ummah Cemerlang


Alhamdulillah, betapa besar nikmat Allah ke atas kita kerana memberi kita kesempatan untuk sekali lagi berada dalam bulan Ramadhan, ulan di mana amal kebaikan dilipatgandakan ganjaran melebihi bulan-bulan lain.

Menjejak kaki ke bulan Ramadhan bagai menjejak kaki ke pusat tarbiyyah hati dan ketaatan, di mana pusat ini menyediakan pendidikan rabbaniyyah, imaniyyah dan takwa.

Bulan Ramadhan yang penuh berkat ini adalah pusat pendidikan iman yang lengkap, mencakupi pelajaran, prinsip serta nilai tarbiyyah serta latihan ketaatan bagi tujuan kita menempuh kehidupan di dunia serta mendapatkan kehidupan yang sejahtera di akhirat nanti, insyaAllah.

LATIHAN PENGUKUHAN IMAN DAN TAKWA.

“Dan berbekallah, kerana sebaik-baik bekalan adalah taqwa” (QS Al-Baqarah : 197)

Takwa dan keimanan adalah bekalan yang amat perlu dalam kita mengharungi ujian dunia yang penuh cabaran. Bekalan iman dan takwa juga akan kita bawa bersama apabila dijemput Allah suatu hari nanti. Maka Ramadhan ini, Allah memperuntukkan satu bulan untuk kita memenuhkan dan mengukuhkan iman dan takwa dalam hati melalui ibadah puasa yang diwajibkan khusus pada bulan Ramadhan.

Istimewa Ramadhan kerana ia merupakan:

1. Bulan peningkatan keimanan, taqwa dan pendekatan diri kepada Allah. Di mana syaitan yang menghasut agar jauh dari Allah dibelenggu, amalan fardhu yang dilakukan dilipatganda pahala dan amalan sunat pula pahalanya seperti amalan fardhu. Maka beruntung benar mereka yang memanfaatkan Ramadhan untuk meningkatkan iman dan takwa.

2. Bulan ibadah, ‘tadharru’’ (ketundukan), istighfar, taubat dan doa. Di waktu siangnya kita berpuasa dengan penuh ketakwaan, pada malamnya kita bertarawikh dan menghidupkan malam.

3. Bulan infaq, berkorban, memberi, kebaikan dan berbuat baik serta memelihara orang-orang fakir, miskin dan yatim, kaum muslimin memberikan kenikmatan di dalamnya dengan bergotong royong dan tolong menolong di antara mereka.

4. Bulan diwajibkan berpuasa, bersungguh-sungguh, kesabaran dan tahan memikul beban.

5. Bulan kemenangan ke atas jiwa, hawa nafsu dan syaitan, di dalamnya seorang muslim dilatih menahan keinginan, memperkukuhkan cita-cita, azam dan gerakerja bagi mencapai perubahan yang positif.

6. Bulan Al Qur’an Al Karim di mana kaum muslimin sentiasa membacanya sepanjang malam dan sepanjang hari, agar dapat dipelajari dari pelajaran-pelajaran dan ayat-ayatnya, mentadabburkan apa yang terkandung di dalamnya dari berbagai pengarahan dan makna-maknanya, mentelaah ‘manhaj’ dan ‘uslub-uslubnya’ sehingga menjadi undang-undang yang kekal, petunjuk jalan dalam kehidupan dan manhaj dalam kebangkitan.

Demikianlah madrasah ‘imaniyah’, taman pembinaan, kurniaan Allah yang sentiasa hadir setiap tahun sebagai kurniaan dari Allah ke atas umat ini, nikmat yang sangat besar dan kurniaan yang agung, kita membuka pintu seluas-luasnya menuju kebangkitan yang baru ini, mengembalikan kaum muslimin akan kemuliaan mereka yang telah redup dalam kurun yang lama dan pada tahun-tahun yang panjang.

KEPERLUAN KITA TERHADAP RAMADHAN

Melalui madrasah ‘rabbaniyah’ ini, kita sangat memerlukan akan pelajaran-pelajaran buat diri yang terdapat di dalamnya. Hasil didikan di madrasah ini kita berharap akan menjadi insan rabbani yang mempunyai ciri:

1. kesungguhan dalam menjaga hubungan dengan Allah dan manusia

2. redha mengorbankan kepentingan

3. pengabdian sepenuhnya pada Allah dan ikhlas beramal

4. kesabaran yang tinggi dalam menempuh dugaan Allah dan tetap dalam perjuangan Islam

5. menjadikan tujuan hidupnya serta tujuan segala perbuatannya adalah untuk Allah

Maka, marilah kita menyeru diri kita dan orang di sekeliling kita untuk memanfaatkan Ramadhan ini dengan amal kebaikan serta pengabdian yang menyeluruh hanya untuk Allah. Sama-sama kita menghiasi hari siangnya dan menghidupkan hari malamnya dengan Al-Quran, zikir, doa, istighfar, tahajjud dan pelbagai ibadah lain, serta melakukan kerja amal kerana Allah.

Selain itu kita juga perlu berperanan dan turut serta dalam amal sosial dan kebaikan, seperti menganjurkan sedekah, mengunjungi orang sakit yang dirawat di pusat perubatan, meringankan beban orang yang memerlukan bantuan, menjalin silaturrahim keluarga, kerabat yang dekat, memperbaiki hubungan keluarga dan mendamaikan antara dua orang yang sedang berselisih.

Umat sangat-sangat memerlukan kesungguhan pemuda muslim yang baik yang digerakkan oleh iman, didorong oleh akidah, didisiplinkan oleh hukum-hukum syariah serta dihias peribadinya dengan akhlak Islamiah.

Kesungguhan ini diharapkan dapat membuka pintu harapan untuk :

a. Bangkit.

b. Memerangi sifat putus asa dan rendah diri.

c. Memperkukuhkan imuniti untuk menghadapi kelemahan, kerusakan dan penurunan indeks moral.

d. Menolak kezaliman, tekanan dan penindasan.

Kita yakin bahwa iman yang benar adalah merupakan fokus utama untuk membangun masyarakat muslim yang soleh iaitu asas utama untuk kebangkitan dan kemajuan ummah:

Seharusnya kebangkitan Islam bakal dibina berasaskan:

a. Iman sebagai tunjang kerukunannya.

b. Tauhid sebagai prinsipnya.

c. Rasul sebagai pemimpinnya

d. Al Qur’an sebagai perlembagaan hidupnya.

e. Jihad sebagai usaha dan jalan hidupnya.

f. Mati di jalan Allah sebagai cita-cita tertingginya.

ILMU YANG BERMANFAAT

Melalui iman akan hadir ilmu yang bermanfaat samada ilmu agama atau ilmu dunia.

Ilmu dengan berbagai cabangnya merupakan kewajiban umat dan tidak akan ada kebangkitan dan kewujudan cita-cita di masa depan jika tidak menjadikan ilmu sebagai keutamaan atau perhatian utama.

Kewajiban para pemuda muslim adalah :

1. Menerima pelajaran.

2. Gigih dan sungguh-sungguh untuk mencapai dan memahami ilmu.

3. Meraih tingkatan dan darjat yang tinggi.

4. Sedar dengan risalah dan tujuannya.

5. Mencapai prestasi ilmu dan akhlak yang mulia.

6. Baik dalam berinteraksi dengan guru-guru, tenaga pengajar dan rakan seangkatannya.

7. Semangat yang berterusan terhadap peranan ilmu dan institusi-institusi pendidikan.

Umat yang bersungguh-sungguh dalam menuju kemajuan dan peningkatan memerlukan ulama’, guru dan para pendidik yang :

a. Memiliki keikhlasan.

b. Berjuang dengan penuh semangat.

c. Membina anak-anak dengan penuh kecintaan.

d. Memelihara dan mendidik mereka.

Oleh kerana itu umat mesti berterimakasih kepada para ulama’, asatizah, mu’allim dan murabbi dan menghargai mereka dengan penghargaan yang tinggi.

Ilmu merupakan wasilah dan jalan untuk bangkit dan maju di mana para ulama’ berjuang keras siang malam untuk kebangkitan dan kemajuan umat.

KEPERLUAN KEPADA PEMUDA MU’MIN

Kita sangat memerlukan kepada pemuda mu’min yang :

1. Memiliki senjata dengan ilmu yang bermanfaat.

2. Memiliki keinginan yang dapat mendorong kepada jiwa berkorban dan memberi demi kebangkitan umat.

3. Mengembalikan kemuliaan Islam.

Pemuda mu’min merupakan harapan dalam :

a. Memurnikan nilai-nilai yang mulia.

b. Memerangi kecurangan dan penipuan.

c. Menentang kezaliman dan penindasan.

d. Menghentikan keruntuhan moral.

e. Menumbuhkan nilai-nilai kebenaran, keadilan, kebebasan dan syura.

f. Memperkukuhkan akhlak dan prinsip-prinsip.

g. Mendukung sikap kasih sayang dan mengasihi antara manusia.

Moga dengan kehadiran bulan Ramadhan yang penuh berkah ini akan mengembalikan semula kepada umat Islam dengan kebaikan, anugerah dan berkah serta akan menguatkan cita-cita serta perjuangan untuk mencapai kemenangan menyebarkan syariat Islam seterusnya mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment