Tentang saya

My photo
"Katakanlah, inilah jalanku, mengajak aku kepada Allah dengan hujjah yang nyata, aku dan yang mengikutiku, dan mensucikan Allah, dan tidak aku dari golongan musyrikin" Surah Yusuf ayat 108.

Monday, April 11, 2011

Meraih Takdir Allah

 
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Tidak ada makhluk melata di muka bumi ini kecuali bahagian atau kuota penghidupannya telah dijamin oleh Allah swt sebagaimana firman Allah swt :

"Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)." (QS Hud : 6)
Lebih-lebih lagi manusia dengan kapasitinya sebagai pemakmur bumi dan makhluk yang paling mulia.

Ketetapan itu berlaku agar kehidupan ini sentiasa berjalan seperti yang dikehendaki oleh Yang Maha Pencipta. Walaubagaimanapun, kuota rezeki itu tidak serta-merta mendatangi makhluk tersebut tanpa ada usaha untuk meraihnya.

Maka berusaha untuk mendapatkan kuota penghidupannya menjadi suatu kemestian. Perlu ada usaha dan sebab untuk meraih bahagian atau kuota tersebut. Jika ingin mendapatkan ikan, maka perlulah kita menebar jala atau memasang kail.

Dalam Islam, kemuliaan seseorang tidak hanya diukur dari sejumlah ibadah yang dipersembahkan kepada Allah swt seperti :

1. Seberapa hitam tanda di dahinya kerana seringkali dan lamanya ia bersujud.

2. Seberapa lama ia beri'tikaf di masjid.

3. Seberapa kerap biji tasbih yang digerak-gerakkan oleh jari jemarinya.

4. Seberapa banyak gerakan mulutnya yang tidak henti-henti mengeluarkan kalimat-kalimat pujian kepada Yang Maha Pencipta.

Seseorang yang berusaha untuk mendapatkan kuota rezeki itupun termasuk perbuatan yang mulia yang juga dikategorikan sebagai ibadah.

Semakin kuat seseorang itu berusaha, semakin dia menjadi mulia dan disukai oleh Allah swt. Yang paling penting dalam perkara ini adalah proses untuk mendapatkannya. Sebaliknya, sikap bermalas-malas dalam menumbuhkan potensi demi mendapatkan kurnia Allah tersebut adalah satu perbuatan yang hina dan tidak disukai oleh Allah swt.

KEMULIAAN BERUSAHA
Al-Qur'an dan hadits Nabi saw banyak menyampaikan anjuran bahkan pujian kepada orang-orang yang berusaha untuk mendapatkan rezeki dariNya.

Allah swt berfirman :
 
"Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung." (QS Al-Jum'ah : 10)
Syed Qutb di dalam Tafsir Fi Zilalil Qur'an membuat komentar berikut :

"Inilah konsep tawazun (keseimbangan) yang ditegaskan oleh manhaj Islam. Keseimbangan di antara tuntutan hidup di muka bumi ini. Di antara kerja, aktiviti, usaha dan mencari nafkah pada suatu sisi dan pada sisi yang lain mengangkat ruh dan hati dari semua kesibukan itu dalam kekhusyukan zikir kepada Allah swt…"
Jika seseorang mampu mencari penghidupan untuk dirinya sendiri tanpa menggantungkan diri kepada orang lain, itulah yang dikehendaki bahkan yang lebih baik apabila melalui usahanya, ramai orang yang bergantung kepadanya.

Khalid bin Ma'dan meriwayatkan dari Al Miqdam ra. dan dari Rasulullah saw, beliau bersabda :
 
"Tidak ada seorang yang memakan makanan yang lebih baik daripada seseorang yang makan dari hasil kerja tangannya sendiri. Dan Nabi Daud as makan dari hasil kerja tangannya." (HR Bukhari)
Boleh jadi, ada orang yang dianggap hina dari kaca mata dunia kerana profesyennya, namun sesungguhnya menurut ukuran akhirat ia sangat mulia, bahkan lebih mulia berbanding mereka yang memiliki status sosial tinggi kerana melimpahnya kekayaan bumi namun bukan dari usaha dan hasil titik peluhnya sendiri.

Rasulullah saw membandingkan kemuliaan orang yang mencari kayu bakar dengan yang hanya meminta-minta kepada manusia. Tentu sahaja usaha ini adalah satu usaha yang dibentuk dengan bingkai ibadah kepada Allah swt.

"Sekiranya salah seorang di antara kamu mengambil talinya lalu berangkat (perawi: saya kira beliau mengatakan) ke gunung kemudian mengumpulkan kayu bakar lalu menjualnya dan memakan (dari hasilnya) serta menyedekahkannya, itu lebih baik daripada ia meminta-minta dari orang." (HR Bukhari)
Imam Al-Ghazali menyebutkan dalam Ihya'-nya :

Bahwa Rasulullah saw pernah duduk-duduk bersama para sahabatnya pada suatu hari. Tiba-tiba mereka melihat seorang pemuda yang berkulit kasar dan kuat. Pagi-pagi ia bekerja. Mereka (para sahabat) berkomentar,
 
"Sayang sekali orang ini, kalaulah masa mudanya dan kekutan tubuhnya itu berada di jalan Allah."

Rasulullah saw bersabda :
 
"Jangan berkata seperti itu, kerana jika ia berusaha untuk menjaga dirinya agar tidak meminta-minta serta mencukupkan dirinya dari orang lain, maka ia berada di jalan Allah. Atau jika ia bekerja untuk kedua orang tua yang lemah dan keluarga yang lemah untuk membuat mereka kaya dan cukup, maka ia berada di jalan Allah. Namun kalau ia bekerja untuk berbangga diri dan membanyakkan harta, maka ia berada di jalan syaitan."
Namun, peranan manusia dalam masalah rezeki hanya sebatas :

1. Berusaha dan memaksimakan potensi yang Allah berikan kepadanya.

2. Menggerakkan semua kemampuan dan menjadikan pengalaman sebagai bekalan untuk menghadapi liku-liku di dunia keusahawanannya.

3. Menyusun strategi yang baik dan menutup berbagai kekurangan yang mungkin menjadi penghalang kepada kejayaan usahanya.

4. Menilai pencapaian yang mungkin boleh menjadi penyebab kepada kegagalan sesuatu usaha.

Hasil dari usahanya tidak dapat dipastikan dengan perkiraan kemanusiannya. Itu semua merupakan hak prerogatif Allah swt yang memberikan bahagian atau kuota kepada setiap hambanya.

Sentiasa ada hikmah di sebalik setiap kuantiti kuota yang diberikan itu. Perkara ini sangat berkait dengan kedudukan harta benda sebagai ujian. DiberikanNya dan ditahanNya harta kepada seseorang pasti demi kebaikan hamba tersebut.

Barangkali bagi seseorang, oleh kerana ketidaktahuannya mengira bahwa dirinya layak untuk mendapatkan kuota lebih dari orang lain. Namun Allah yang lebih mengetahui tentang hambaNya lebih tahu pula seberapa banyak kuota yang diperlukan oleh setiap hamba tersebut.

Perlu digariskan di sini, bahwa persoalan kuota adalah perkara ghaib dan manusia tidak dibebankan untuk mengetahui sebelum kuota itu benar-benar berada dalam genggaman tangannya.

Maka manusia diberi kebebasan untuk meletakkan sasaran dunia yang ingin dicapainya dan diberi keluasan untuk berusaha mengejar sasaran itu, tentu sahaja dengan cara dan etika yang telah ditetapkan panduannya oleh syariat Islam.

Disebabkan oleh keghaiban hasil dari sebuah usaha itulah, seorang hamba wajib berharap dan berdoa kepada Allah swt. Tidak layak baginya untuk menyandarkan hasil kepada susah payah dan penat jerihnya semata-mata.

Betapa ramainya manusia yang meletakkan strategi untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkannya, namun tangan-tangan taqdir menghalanginya sehingga ia terhalang untuk mencapai sasaran tersebut.

Sebagai implementasi dari surah Al-Jumu'ah ayat 10 di atas, pernah seorang sahabat Nabi saw, Anas bin Malik ra, setiap kali selesai solat Jumaat, ia keluar dan berhenti di pintu masjid seraya berdoa, "Ya Allah, aku telah menyambut seruan-Mu, melaksanakan kewajiban-Mu dengan solat, lalu aku menyebar sebagaimana perintah-Mu. Maka berilah rezeki dari kurniaMu kerana Engkaulah sebaik-baik
pemberi rezeki." (Dikutip dari Ibnu Katsir)

Doa setelah atau ketika bekerja adalah suatu :

1. Representasi seorang hamba terhadap keterbatasan dirinya sekaligus pengakuannya akan kekuasaan Rabbnya.

2. Bentuk pengesaan terhadap Rububiyah Allah swt.

3. Gambaran bahwa Allah-lah Zat yang memberi rezeki dan di tanganNyalah segala kebaikan.

4. Penghormatan tertinggi terhadap Allah yang berhak memberikan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya dan menahannya dari siapa yang dikehendakiNya.

DOA DAN TAQDIR
Mungkin ada yang terkesan dengan pertanyaan berikut :

Apakah doa yang dipanjatkan seseorang ketika ia bekerja akan mengubah kuota rezekinya yang merupakan taqdir dari Allah swt?

Dalam kitab "Ad-Daa' wa Ad-Dawa'", Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menjawab :

"Taqdir itu ditentukan oleh Allah melalui beberapa sebab dan di antara sebabnya adalah doa. Allah tidak mentaqdirkan sesuatu tanpa sebab. Allah juga menentukan sebab itu apabila seorang hamba melakukan sebab itu, maka taqdir itu pun berlaku. Misalnya seperti :

1. Taqdir kenyang dan hilangnya dahaga dengan makan dan minum.

2. Taqdir lahirnya seorang anak melalui proses perkahwinan.

3. Taqdir makan daging binatang dengan menyembelihnya terlebih dahulu.

4. Taqdir masuk syurga dan neraka dengan amal perbuatan.

Maka, doa merupakan sebab paling penting untuk mendapatkan taqdir."

Doa adalah ibadah yang disyariatkan oleh Allah kepada hambaNya agar dalam berinteraksi dengan Allah, perasaan harap dan keinginan kuat untuk mendapatkan apa yang diinginkannya terpacak kuat di dalam dirinya.

Jika seseorang mempunyai keinginan yang kuat untuk mendapatkan harapannya serta takut kehilangan harapan tersebut, tentu hal itu akan semakin menggerakkannya untuk berbuat lebih banyak serta menggandakan usahanya.

Hasil yang dicapai tidak selalunya berkadar terus dengan usahanya dan keimanan seseorang kepada taqdirlah membuatkan ia menerima hasil dari semua usahanya, samada sesuai dengan keinginannya ataupun tidak.

Keimanan kepada taqdir yang berlaku untuk dirinya setelah melakukan ikhtiar adalah puncak keimanan. Kebaikan dan keburukan yang menimpanya tidak membuatnya berpaling dari menempuh jalan positif menuju kebaikan. Memilih taqdir yang baik adalah sebahagian dari ikhtiar yang dianjurkan dalam Islam.

Suatu ketika Sayyidina Umar bin Al Khatthab ra mengarahkan pasukannya yang sedang melaksanakan operasi ketenteraan agar berpindah dari tempat yang dikenalpasti sebagai tempat yang terkena epidemik kolera (taun) menuju ke tempat lain.
 
Salah seorang tentera dari pasukan tersebut berhujah :
 
"Apakah kamu ingin lari dari taqdir Allah, wahai Umar?"
 
Khalifah Islam yang kedua ini menjawab :

"Ya, kita lari dari satu taqdir Allah menuju satu taqdir Allah."

Perbuatan ini selari dengan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah saw :

Imran bertanya, "Ya Rasulullah, untuk orang-orang beramal?" Beliau menjawab, `Masing-masing orang akan dipermudahkan menuju taqdirnya." (Muttafaq Alaih)

Sayyidina Ali ra berkata :
 
"Sesungguhnya salah seorang di antara kamu tidak bersih keimanan di dalam hatinya sampai dia yakin seyakin-yakinnya dan tidak ragu sedikit pun, bahwa apa yang menimpa dirinya bukan kerana kesalahan yang dilakukannya dan kesalahan yang dilakukan tidak menyebabkannya tertimpa musibah serta meyakini semua taqdir yang berlaku."

Maka oleh sebab itu, ketika :

1. Benih telah disemai.

2. Air telah disiramkan.

3. Baja telah ditebarkan.

Maka, berdoalah.

Lalu apapun yang dihasilkan, terimalah dengan penuh ketulusan sebagai kurniaan Zat yang mengeluarkan buah dari benihnya.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki. Engkau telah menetapkan kuota rezeki kepada setiap makhlukMu, namun kami memahami bahwa dengan doa, segala taqdir itu dapat dicapai. Sesungguhnya kami akan berusaha bersungguh-sungguh memenuhi segala apa yang diperlukan sehingga Taqdir Engkau menentukan segala-galanya dan kami ridha menerimanya dengan penuh keyakinan dan
keimanan.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

No comments:

Post a Comment